Accessibility Tools

Skip to main content

MB Kelantan zahir takziah atas pemergian Maulana Sayyid Salman al-Husayni an-Nadwi

Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Menteri Besar

KOTA DARULNAIM, 29 Jun - Menteri Besar Kelantan. YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud menzahirkan ucapan takziah atas pemergian tokoh ulama dunia Islam, Fadhilatul 'Allamah al-Muhaddith al-Mubajjal ar-Rabbani al-Mutabahhir, Maulana Sayyid Salman al-Husayni an-Nadwi yang disifatkan sebagai kehilangan besar kepada umat Islam sejagat.

Dalam kenyataannya, berita pemergian Allahyarham diterima dengan penuh rasa dukacita dan kesedihan.

Beliau berkata, bagi pihak Kerajaan Negeri Kelantan Darul Naim serta seluruh rakyat negeri ini, ucapan takziah dizahirkan kepada ahli keluarga Allahyarham, para murid, pencinta ilmu serta seluruh warga ilmuan di dunia Islam.

Menurutnya, Allahyarham merupakan seorang tokoh ulama yang mengabdikan seluruh kehidupannya untuk berkhidmat kepada agama Islam melalui penyebaran ilmu, dakwah serta penghasilan pelbagai karya ilmiah yang menyumbang kepada pembangunan intelektual ummah.

Jelasnya, jasa dan sumbangan Allahyarham dalam bidang keilmuan serta dakwah telah meninggalkan legasi yang besar dan terus menjadi rujukan kepada umat Islam di seluruh dunia.

“Semoga segala amal soleh dan jasa bakti beliau diterima Allah SWT sebagai pemberat timbangan kebaikannya,” katanya menerusi laman sosial, hari ini.

Beliau menyeru umat Islam mendoakan agar Allah SWT mencucuri rahmat ke atas Allahyarham, mengampunkan segala dosanya, mengangkat darjatnya serta menempatkannya dalam syurga yang luas sebagai ganjaran atas khidmat dan pengorbanan beliau terhadap agama.

Selain itu, beliau mendoakan agar Allah SWT mengurniakan kesabaran, ketabahan dan ketenangan kepada seluruh ahli keluarga, kaum kerabat serta para murid yang ditinggalkan dalam menghadapi ujian tersebut.

Pautan berjaya disalin!