Accessibility Tools

Skip to main content

Petugas media perlu sentiasa siap siaga walau musim cuti - Exco Penerangan

Oleh: Syamimi Manah

KOTA DARULNAIM, 16 Mac – Petugas media negeri diingatkan supaya sentiasa berada dalam keadaan siap siaga, khususnya menjelang musim perayaan Aidilfitri yang bakal tiba.

Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud berkata, peranan agensi rasmi media Kerajaan Negeri Kelantan khasnya Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) amat penting dalam memastikan maklumat yang tepat dan sahih terus disampaikan kepada rakyat tanpa mengira masa.

“Menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti, walaupun kita bercuti dan pulang ke kampung halaman, jentera penerangan perlu sentiasa bersedia. Kita mesti kekal ‘on-call’ dan bersedia menjalankan tugas dengan penuh iltizam apabila diperlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Keraian dan Moreh Kakitangan UPKN yang berlangsung di pekarangan pejabat UPKN, selepas solat tarawih, malam tadi.

Menurutnya, komitmen tinggi dan disiplin dalam kalangan anggota UPKN menjadi kunci utama dalam memastikan penyampaian maklumat kerajaan negeri berjalan lancar, terutamanya dalam tempoh yang memerlukan kecekapan dan tindak balas pantas.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga UPKN atas dedikasi dan kesungguhan yang ditunjukkan selama ini dalam memperkukuh sistem penyampaian maklumat negeri.

Majlis tersebut turut diserikan dengan jamuan moreh serta sesi santai yang mengeratkan hubungan sesama kakitangan.

Turut diadakan penyampaian duit raya kepada kakitangan serta anak-anak yang hadir, sekali gus menambah kemeriahan suasana dan menyemai semangat kebersamaan dalam kalangan warga UPKN.