Accessibility Tools

Skip to main content

Projek Pembangunan Landskap Perbandaran Kota Bharu capai kemajuan 42 peratus

Oleh: Norzana Razaly

KOTA BHARU, 4 Februari – Projek Pembangunan Landskap Perbandaran Kota Bharu kini mencapai kemajuan sebanyak 42 peratus, selaras dengan perancangan pelaksanaan yang ditetapkan sejak dimulakan pada 4 Jun 2025.

Sehubungan itu, Tengku Mahkota Kelantan Yang Teramat Mulia Tengku Muhammad Fakhry Petra Ibni Almarhum Sultan Ismail Petra berkenan mencemar duli berangkat melawat ke Tapak Projek Pembangunan Landskap Perbandaran Kota Bharu bagi meninjau secara dekat perkembangan semasa kerja-kerja di lapangan pada Isnin, 26 Januari.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), Dato’ Zulkifle Abdul Rahman memaklumkan bahawa projek berkenaan melibatkan 34 lokasi dan dijangka siap sepenuhnya pada Februari 2027.

“Projek ini bermula pada 4 Jun 2025 dan insya-Allah dijangka siap pada Februari 2027. Setakat ini, kemajuan keseluruhan telah mencapai 42 peratus,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Turut mengiringi YTM Tengku Mahkota Kelantan ialah Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan), Jabatan Landskap Negara (JLN), Dr. Mazifah Simis, yang memberi sembah taklimat mengenai skop, konsep serta pencapaian semasa projek landskap berkenaan.

Tiga kawasan utama terlibat dalam sesi lawatan tersebut iaitu kawasan Padang Merdeka, Bulatan Medan Tuan Padang serta beberapa zon Lorong Belakang yang sedang dinaik taraf sebagai sebahagian daripada transformasi landskap bandar.
Sepanjang lawatan, YTM Tengku Mahkota Kelantan turut disembah maklum berkenaan matlamat pelaksanaan projek yang menekankan penyediaan ruang hijau berkualiti, persekitaran awam yang selesa dan selamat, di samping penerapan elemen landskap beridentiti tempatan yang mencerminkan citra Kota Bharu sebagai bandar raya Islam.

Sementara itu, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah merakam sembah junjung kasih atas ampuni perkenan YTM Tengku Mahkota Kelantan berangkat meninjau tapak projek berkenaan.
Menurutnya, lawatan tersebut diadakan selepas waktu kerja pembinaan bagi memastikan tiada gangguan terhadap operasi di tapak binaan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada JLN atas inisiatif yang menyokong agenda kelestarian bandar serta peningkatan kualiti alam sekitar demi kesejahteraan rakyat.

“Projek Pembangunan Landskap Perbandaran Kota Bharu dilihat sebagai antara inisiatif strategik bagi menaik taraf imej bandar, memperkukuh fungsi ruang awam serta menyokong aspirasi pembangunan bandar yang lestari dan sejahtera,” ujarnya.