Accessibility Tools

Skip to main content

Kutipan hasil RM880 juta, Kelantan capai 88.22 peratus sasaran tahun 2025

Oleh: Norzana Razaly

KOTA DARULNAIM, 8 Januari – Prestasi kewangan Negeri Kelantan mencatat pencapaian memberangsangkan apabila pungutan hasil negeri sehingga 28 Disember 2025 mencecah RM879.79 juta, bersamaan 88.22 peratus daripada anggaran hasil tahunan yang ditetapkan.

Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata, pencapaian tersebut mencerminkan tahap kecekapan pentadbiran kewangan negeri serta komitmen berterusan jentera kerajaan dalam memperkukuh asas hasil negeri secara berhemah dan berintegriti.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan beberapa strategi utama telah digariskan bagi memperkukuh punca hasil baharu serta meningkatkan keupayaan kewangan negeri, antaranya penetapan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kutipan tunggakan cukai tanah sekurang-kurangnya 80 peratus, manakala kutipan cukai tanah semasa disasarkan pada kadar 100 peratus.

Menteri Besar Kelantan, YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud

Menurutnya, pungutan hasil tanah yang menjadi nadi utama kelangsungan pentadbiran dan pembangunan negeri perlu diurus secara berkesan, tersusun dan berintegriti, memandangkan kecekapan pengurusan hasil merupakan prasyarat penting kepada kejayaan pembangunan sosioekonomi negeri.

“Tanpa pengurusan hasil yang cekap dan beramanah, usaha Kerajaan Negeri untuk menjayakan pembangunan sosioekonomi serta merealisasikan agenda Penghayatan Membangun Bersama Islam tidak akan dapat dilaksanakan dengan sempurna. Justeru, setiap warga pentadbiran tanah memikul amanah besar yang wajib ditunaikan dengan penuh tanggungjawab dan integriti,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pejabat-Pejabat Tanah dan Jajahan yang berjaya mencapai sasaran kutipan hasil tanah bagi tahun 2025.

“Sumbangan hasil tanah melebihi RM380 juta sehingga Disember 2025 membuktikan komitmen, disiplin dan semangat kebersamaan yang tinggi dalam kalangan warga pentadbiran. Kejayaan ini bukan sahaja mencerminkan kecekapan pengurusan, malah meningkatkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan negeri.

“Pembangunan Sistem e-Tanah yang akan bermula pada tahun 2026 merupakan satu anjakan besar dalam memendekkan tempoh urusan, meningkatkan ketelusan serta menghapuskan kerenah birokrasi. Dalam masa yang sama, inisiatif seperti diskaun denda, kaedah bayaran mudah dan perkhidmatan bergerak membuktikan bahawa kerajaan negeri tidak pernah berniat membebankan rakyat,” katanya ketika menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2026 di Dewan Tok Guru Bentara Setia, Kompleks Pentadbiran Kota Darulnaim, hari ini.