541 aktiviti bahasa, sastera sepanjang tahun 2025 perkukuh jati diri rakyat Kelantan
Oleh: Norzana Razaly
Kredit foto: Media DBPWT
KOTA DARULNAIM, 24 Disember – Komitmen berterusan Kerajaan Negeri Kelantan dalam memartabatkan bahasa Melayu dizahirkan menerusi pelaksanaan 541 aktiviti kebahasaan dan kesusasteraan sepanjang tahun 2025, hasil sinergi strategik bersama agensi Persekutuan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta sektor swasta, sekali gus mengukuhkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan teras pembinaan jati diri masyarakat.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan (Pengurusan) Dato’ Azi Rahimee Mohamed berkata, daripada jumlah keseluruhan itu, 54 program dilaksanakan oleh 17 anggota Jawatankuasa Pelaksanaan Bahasa Melayu Peringkat Negeri Kelantan (JKPBM) sebagai sebahagian pelaksanaan dasar pemerkasaan bahasa Melayu di peringkat negeri.
Menurutnya, antara inisiatif teras yang digerakkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan ialah pengurusan dan penyelarasan Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan Bahasa Melayu (JKPBM) Bil. 1/2025 yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan YBM Tengku Kaya Perkasa Dato’ Dr. Tengku Mohamed Faziharudean Al-Haj Tengku Feisal, pada 11 Mei lalu.
Dato’ Azi Rahimee yang mempengerusikan mesyuarat berkenaan memaklumkan bahawa mesyuarat tersebut turut meluluskan pelantikan 56 Ahli JKPBM Peringkat Negeri Kelantan mewakili pelbagai sektor strategik, merangkumi 12 wakil jabatan dan agensi negeri, 12 wakil pihak berkuasa tempatan (PBT), 16 wakil jabatan dan agensi Persekutuan, tujuh wakil institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/IPTS) serta sembilan wakil sektor swasta dan NGO.
“Pelantikan Ahli Jawatankuasa Bahasa Melayu Peringkat Negeri Kelantan ini berkuat kuasa mulai 26 Ogos 2025 dan berfungsi merancang serta memantau pelaksanaan program kebahasaan di seluruh negeri sepanjang tahun,” katanya ketika berucap dalam Mesyuarat JPBMK Bil. 2/2025 di Bilik Gerakan Negeri, Kompleks Kota Darulnaim, pada Isnin.
Komitmen agensi kerajaan negeri dalam memartabatkan bahasa Melayu turut dizahirkan menerusi penglibatan Yayasan Islam Kelantan (YIK) yang menganjurkan Pertandingan Syarahan Bahasa Melayu melibatkan pelajar institusi YIK dari 19 hingga 22 Mei 2025, sebagai usaha membudayakan penguasaan bahasa serta membina keyakinan berpidato dalam kalangan generasi muda.
Usaha pemerkasaan bahasa Melayu turut diperkukuh menerusi penganjuran Syarahan Perdana Penghayatan Membangun Bersama Islam anjuran Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) pada 4 Oktober 2025, yang sepenuhnya menggunakan bahasa Melayu baku serta merangkumi kategori dewasa dan kanak-kanak. Program berprestij itu turut menampilkan juri Bahasa Melayu undangan khas dari Jabatan Bahasa Melayu, Institut Pendidikan Guru Kampus Kota Bharu.
Selain itu, UPKN juga memainkan peranan penting memastikan ketepatan dan kualiti bahasa apabila menggunakan khidmat semakan ejaan dan tatabahasa oleh pakar Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) bagi manuskrip Dasar Penerangan Negeri Kelantan.
Sementara itu, Pengarah DBPWT Ariza Che Ismail memaklumkan bahawa pihaknya telah melaksanakan 95 kegiatan berfokus bahasa, sastera dan ilmu, selain merealisasikan 392 siaran radio sepanjang tahun 2025, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan DBPWT dalam memartabatkan bahasa Melayu dan mengembangkan sastera kebangsaan di peringkat wilayah.
Menurutnya, keseluruhan inisiatif tersebut dirangka secara strategik bagi memastikan bahasa Melayu terus berfungsi sebagai bahasa ilmu, wahana pemikiran dan asas pembinaan jati diri masyarakat, merentas kelompok usia serta latar sosial.
“Antara tumpuan utama ialah pelaksanaan program pembangunan bahasa dan sastera melibatkan kanak-kanak, remaja serta masyarakat umum, di samping pengukuhan ekosistem penulisan, pembacaan dan apresiasi karya kreatif,” katanya.
Beliau menjelaskan, pendekatan tersebut dilaksanakan melalui program penggalakan, kerjasama strategik, pembudayaan tulisan Jawi, penganjuran wacana ilmiah serta usaha sistematik membina bakat penulis baharu.
Dalam masa sama, medium radio kekal sebagai saluran efektif mendekati rakyat apabila 392 siaran Radio Kelantan FM disiarkan menerusi pelbagai segmen khusus yang menekankan pengayaan kosa kata, keindahan bahasa, pemikiran sastera serta nilai budaya tempatan, sekali gus mendekatkan bahasa Melayu dengan denyut kehidupan seharian masyarakat.
“DBPWT turut merekodkan pencapaian dalam bidang penerbitan apabila 74 artikel dan karya berjaya dihasilkan, termasuk penerbitan digital menerusi platform E-Wadah DBP, selain pelaksanaan Gerakan Membaca dan Penyebaran Ilmu serta program sempena Dekad Bahasa Kebangsaan,” ujarnya ketika dihubungi, hari ini.
Tambahnya, khidmat kepakaran bahasa DBPWT turut digabungkan bersama pegawai Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dalam menyemak draf titah ucapan Sultan Kelantan KDYMM Sultan Muhammad V di Majlis Singgahsana pada 29 September sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan baginda ke-56.










