MAIK angkat warisan naskhah Melayu, perkukuh jaringan ilmu Kelantan–Terengganu
Oleh: Norzana Razaly
KOTA BHARU, 4 September - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) terus memperteguh usaha memelihara khazanah keilmuan bangsa apabila menganjurkan Seminar Sejarah Hubungan Kelantan–Terengganu: Berasaskan Naskhah Melayu.
Perasmian majlis disempurnakan Yang Dipertua MAIK yang juga Tengku Temenggong Kelantan YBM Tengku Tan Sri Dato’ Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz di Dewan Utama, Tengku Kaya Pahlawan, Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Panji, di sini, hari ini.
Yang Dipertua MAIK yang juga Tengku Temenggong Kelantan YBM Tengku Tan Sri Dato’ Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz
Seminar yang menghimpunkan hampir 500 peserta terdiri daripada pensyarah, penyelidik, budayawan, sejarawan serta mahasiswa dari Malaysia dan Patani itu menyoroti hubungan erat dua negeri bersaudara yang terbina melalui pertukaran ilmu, karya ulama, serta warisan naskhah Melayu.
Tengku Tan Sri Dato’ Mohamad Rizam menegaskan bahawa naskhah Melayu bukan sekadar lembaran lama, tetapi cerminan tamadun bangsa yang wajar dipelihara sebagai rujukan berharga untuk generasi akan datang.
Apabila kita berbicara tentang naskhah Melayu, ia bukan sekadar seberkas lembaran kertas yang usang atau catatan lama yang tersimpan di rak perpustakaan.
"Sebaliknya, kita sedang menyentuh nadi peradaban, jiwa bangsa, dan khazanah ilmu yang diwariskan oleh sultan, ulama, cendekiawan dan penulis zaman silam.
"Dalam naskhah itulah tersimpan jejak pemikiran, cita rasa budaya, serta panduan agama yang membentuk jati diri umat Melayu-Islam di Kepulauan Melayu," jelasnya.
Terdahulu, para pembentang kertas kerja seperti Presiden Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Cawangan Kelantan (PERADABAN) Dato' A. Aziz Deraman turut mengetengahkan sumbangan tokoh ulama silam seperti Tok Kenali di Kelantan dan Tok Pulau Manis di Terengganu yang meninggalkan karya fiqh, hadis, tasawuf, syair dan hikayat, sekali gus membentuk ekosistem keilmuan serantau di Pantai Timur.
Dalam seminar itu juga, MAIK mengumumkan tentang penerbitan buku “Ketatanegaraan Negeri Kelantan: Sejarah, Pemerintahan dan Pentadbiran Sehingga 2020”, yang telah merangkul Anugerah Buku Kelantan 2025 (Kategori Bukan Fiksyen Dewasa Terbaik).
Di samping itu, Peluncuran buku baharu “Kelantan: Kitab Mukadimah dan Tawarikh Negeri”, sebagai inisiatif memperkukuh penyelidikan sejarah negeri turut dilaksanakan.












