Accessibility Tools

Skip to main content

YB Mohd Asri Mat Daud, Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri Kelantan


Era AI jejas autoriti institusi agama – Exco Pembangunan Islam Kelantan

Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Menteri Besar UKMB

KOTA BHARU, 1 September – Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud menyuarakan kebimbangan terhadap kesan negatif era kecerdasan buatan (AI) terhadap institusi Islam dan para ulama di negara ini.

Menurut beliau, kebergantungan masyarakat, khususnya golongan muda, kepada AI dalam hal-hal berkaitan agama boleh menjejaskan autoriti institusi agama serta peranan alim ulama.

"Apabila masyarakat lebih merujuk kepada AI dalam isu-isu agama, peranan pihak berautoriti seperti pejabat mufti dan para alim ulama akan terhakis. Hal ini boleh menggugat kedudukan institusi agama yang selama ini menjadi rujukan utama dalam urusan keagamaan,” katanya semasa menyampaikan ucapan aluan di Konvensyen Halaqat Negeri Kelantan 2025 yang berlangsung di Kelantan Trade Centre (KTC) di sini, hari ini.

Oleh itu, beliau menyeru para pendakwah agar melihat perkara ini secara serius kerana kesannya sangat besar yang mana semakin hari semakin terhakisnya kredibiliti ilmu apabila setiap orang akan merujuk kepada AI, khususnya ChatGpt dan tidak lagi merujuk perkara-perkara agama kepada alim ulama dan intitusi hal ehwal Islam.

YB Mohd Asri mengakui AI mempunyai banyak kelebihan, namun menegaskan bahawa perbincangan berkaitan Islam sering ditapis secara tidak adil oleh sesetengah platform digital yang menggunakan teknologi AI.

“Kalimah-kalimah seperti jihad, syariat, dan khalifah sering kali ditapis atau dibenamkan oleh platform seperti YouTube dan TikTok, yang menganggapnya sebagai kandungan ekstrem. Ini memberi kesan negatif terhadap imej Islam dan boleh mengelirukan masyarakat,” ujarnya.

Beliau turut menyatakan kebimbangan terhadap penyalahgunaan AI dalam kalangan pelajar yang menciplak maklumat tanpa menyatakan sumber, hingga menjejaskan integriti akademik dalam bidang keagamaan.

“Kita lihat berlaku penciplakan secara berleluasa, terutama dalam kalangan pelajar yang mengambil maklumat dari AI lalu mengaku sebagai milik sendiri. Ini sangat membimbangkan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru para pendakwah dan asatizah agar lebih proaktif dalam menangani cabaran era AI dengan memperkukuh penyampaian dakwah menerusi pelbagai platform media sosial dan alternatif yang ada.

"Para pendakwah mesti mengambil perhatian serius terhadap perkara ini. Pendekatan baharu perlu diterokai agar mesej dakwah terus sampai dan kredibiliti ilmu Islam dapat dipertahankan,” tegasnya.

Majlis perasmian konvensyen tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Besar Kelantan, YAB Dato' Panglima Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud, yang turut melancarkan Buku Panduan Tajwid al-Quran karangan Ketua Pengelola Halaqat Dr. Mohamed Alwi Yusof. Buku tersebut akan menjadi rujukan 2,700 guru al-Quran di seluruh Kelantan.

Menteri Besar juga menyampaikan watikah pelantikan kepada pegawai Halaqat bagi 14 kawasan Parlimen di Kelantan.

Turut hadir, Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komodit, YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail, Timbalan Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Nik Bahrum Nik Abdullah, Ahli-Ahli Dewan Negeri dan Dewan Rakyat Kelantan, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) Dr. Hasan Ramli serta Pengelola Halaqat Negeri Dr. Mohamed Alwi Yusof.