Kekuatan agroqua Kelantan buka ruang kerjasama TVET-Industri
-
21 September 2026
-
Oleh Norzana Razaly
-
26
KOTA BHARU, 21 September – Kekuatan sektor pertanian dan akuakultur Kelantan menyediakan ruang luas kepada institusi pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) untuk bekerjasama dengan pemain industri bagi meningkatkan produktiviti serta menghasilkan produk bernilai tambah.
Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato’ Tuan Mohd. Saripudin Tuan Ismail berkata kerjasama berkenaan penting untuk menterjemahkan kekuatan pengeluaran negeri kepada pembangunan teknologi, inovasi, peluasan pasaran dan pembentukan modal insan berkemahiran.
Menurutnya, pengeluaran akuakultur Kelantan pada 2025 mencapai 7,901.74 metrik tan dengan nilai pasaran sebanyak RM76.2 juta.
“Angka ini menggambarkan kekuatan sebenar sektor pertanian Kelantan. Persoalannya, jika Kelantan sudah mempunyai kekuatan dari segi pengeluaran, apakah langkah seterusnya untuk memastikan kekuatan itu diterjemahkan kepada nilai tambah, teknologi, inovasi, pasaran dan pembangunan modal insan?” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan TVET AgroAqua Strategic Collaboration Hub 2026 anjuran Politeknik Jeli Kelantan (PJK) di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi, YB Dato’ Tuan Mohd. Saripudin Tuan Ismail
Sehubungan itu, Dato' Tuan Mohd. Saripudin menyeru PJK memainkan peranan strategik dalam menghubungkan program TVET dengan keperluan sebenar industri pertanian dan akuakultur bagi mempercepat transformasi sektor agromakanan Kelantan.
Katanya, TVET berfungsi menyediakan tenaga kerja serta perlu menjadi pemangkin kepada pembangunan teknologi, penghasilan inovasi dan penyelesaian terhadap masalah sebenar industri.
"Kerjasama antara institusi TVET dengan industri juga perlu melangkaui pendekatan konvensional yang hanya tertumpu kepada penempatan pelajar bagi menjalani latihan industri.
“Kita tidak mahu industri hanya datang untuk mengambil pelajar menjalani latihan industri. Kita mahu pihak industri duduk bersama-sama dengan politeknik untuk membincangkan teknologi dan kemahiran yang diperlukan serta masalah sebenar yang dihadapi pengusaha.
“Lebih penting, kita perlu mengenal pasti inovasi yang boleh dibangunkan bersama bagi menyelesaikan masalah tersebut. Inilah semangat sebenar TVET Strategic Collaboration Hub,” jelasnya.
Beliau menegaskan, kejayaan Kelantan sebagai pengeluar pelbagai komoditi pertanian turut membawa tanggungjawab lebih besar kerana sektor itu bukan sekadar menyumbang kepada ekonomi, malah menjadi sebahagian daripada agenda keterjaminan makanan negara.
Tambahnya, setiap peningkatan produktiviti, penerapan teknologi, inovasi yang mengurangkan kos dan penghasilan produk bernilai tambah mampu memberikan kesan langsung terhadap kesejahteraan rakyat.
Justeru, usaha memperkasakan sektor pertanian perlu digerakkan seiring dengan pembangunan pengusaha tani, usahawan industri asas tani, agropreneur dan generasi muda.
“Kerajaan Negeri komited untuk terus meningkatkan pengeluaran dan nilai tambah produk serta memperluas peluang kepada agropreneur dan generasi muda supaya sektor ini kekal dinamik, berdaya tahan serta berorientasikan pasaran,” katanya.
Oleh itu, kerjasama strategik antara PJK dengan pihak industri merupakan langkah tepat untuk melahirkan tenaga mahir yang benar-benar memahami keperluan lapangan.
Beliau optimis kerjasama itu berpotensi mempercepat pemindahan teknologi, menggalakkan penyelidikan gunaan serta membantu pengusaha menangani cabaran pengeluaran, kos dan pemasaran.
Beliau berharap TVET AgroAqua Strategic Collaboration Hub 2026 berkembang menjadi platform jangka panjang bagi membina jaringan lebih kukuh antara kerajaan, industri dan institusi TVET.
“Kolaborasi ini perlu membawa sektor pertanian daripada pengeluaran kepada nilai tambah, teknologi kepada inovasi dan latihan kepada kompetensi sebelum diterjemahkan menjadi kekuatan industri,” ujarnya.












