94.6 peratus rakyat Kelantan laksana solat fardu
-
13 August 2026
-
Oleh: Irham Hilmi Hashim
-
43
KOTA DARULNAIM, 13 Ogos – Kajian pelaksanaan solat fardu dalam kalangan masyarakat Kelantan mencatatkan kadar kekerapan dan pelaksanaan antara 87.8 hingga 94.6 peratus berdasarkan dapatan awal fasa pertama yang dilaksanakan kerajaan negeri.
Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, YB Ustaz Mohd Asri Mat Daud berkata, kajian tersebut dilaksanakan secara menyeluruh dan sistematik oleh kumpulan penyelidik daripada Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) bagi mendapatkan gambaran sebenar amalan solat fardu dalam kalangan masyarakat negeri ini.
Menurutnya, kajian berkenaan dilaksanakan pada penghujung 2025 dengan sasaran 6,400 responden daripada 45 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kelantan, manakala 3,227 responden telah melengkapkan kajian bagi fasa pertama.
“Ini bukan berdasarkan apa yang kita dengar semasa ceramah atau ketika kita melaksanakan program. Sebaliknya, ia melalui satu kajian yang dilaksanakan oleh pihak yang mempunyai kepakaran dengan turun ke lapangan secara berperingkat,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Pengkalan Pasir, YB Mohammad Nasriff Daud, pada Persidangan Kali Kedua Bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.
Mengulas dapatan awal berkenaan, beliau berkata tahap kekerapan dan pelaksanaan solat fardu dalam kalangan masyarakat Kelantan berada pada tahap tinggi, iaitu antara 87.8 hingga 94.6 peratus.
Bagaimanapun, katanya, tahap istiqamah dalam melaksanakan solat fardu secara konsisten masih belum mencapai tahap yang memuaskan apabila berada sekitar 68.1 peratus.
“Dapatan keseluruhan akan kita muktamadkan selepas fasa kedua selesai. Namun, dapatan awal ini selari dengan usaha yang telah dilaksanakan di negeri Kelantan sejak pelaksanaan dasar Membangun Bersama Islam,” katanya.
Dalam pada itu, YB Ustaz Mohd Asri berkata kajian tersebut turut menunjukkan peranan penting ibu bapa dan guru dalam membentuk amalan solat sejak usia awal.
Menurutnya, sebanyak 90.1 peratus pelaksanaan solat fardu dikaitkan dengan tarbiah dan pendidikan yang diberikan oleh ibu bapa, manakala 60.6 peratus responden mempelajari pelaksanaan solat daripada guru.
Selain itu, katanya, dapatan kajian menunjukkan 72 peratus dalam kelompok usia sembilan hingga 15 tahun telah melaksanakan solat fardu, manakala 89.4 peratus telah mula konsisten melaksanakan solat sebelum mencapai usia 23 tahun.
“Ini merupakan satu dapatan yang tinggi, tetapi kita juga perlu sedar bahawa masih terdapat mereka yang belum melaksanakan solat,” katanya.
Sementara itu, kajian berkenaan turut menilai pandangan masyarakat mengenai peranan solat dalam mencegah perbuatan mungkar dan perkara tidak baik dalam kehidupan seharian.
YB Ustaz Mohd Asri berkata, sebanyak 99.2 peratus responden bersetuju bahawa solat dapat membantu menjauhkan seseorang daripada melakukan perkara mungkar dan perkara tidak baik dalam masyarakat.
Pada masa sama, sebanyak 98.6 peratus responden menyatakan mereka berasa bersalah dan berdosa apabila meninggalkan solat dengan sengaja, manakala 98.9 peratus pula bersetuju bahawa solat dapat membantu melahirkan dan membentuk akhlak yang baik.
Menurutnya, dapatan tersebut memperlihatkan tahap kesedaran yang tinggi dalam kalangan masyarakat terhadap kepentingan solat lima waktu, walaupun masih terdapat ruang untuk memperkukuh aspek istiqamah dalam pelaksanaannya.
Beliau berkata, dapatan keseluruhan kajian akan dimuktamadkan selepas fasa kedua dengan sasaran jumlah responden sekitar 6,800 orang sebelum hasil kajian dikemukakan kepada pimpinan negeri.
“Hasilnya nanti kita akan kemukakan kepada para pimpinan untuk melihat bagaimana usaha ini dapat diperkasakan supaya dalam masyarakat kita ini tidak ada yang meninggalkan solat lima waktu,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, YB Ustaz Mohd Asri berkata kerajaan negeri turut meletakkan pelaksanaan solat lima waktu sebagai satu keutamaan dan agenda besar selaras dengan visi akhirat yang menjadi asas pentadbiran negeri.
Katanya, Rang Undang-Undang Kesalahan Syariah Kelantan 2026 yang diluluskan semalam turut memperuntukkan fasal baharu berkaitan solat lima waktu menerusi Fasal 10.
“Walaupun mungkin sukar untuk kita melihat sama ada seseorang itu solat atau tidak kerana ia merupakan hubungan dengan Allah SWT, namun sebagai sebuah kerajaan yang meletakkan visi akhirat, solat merupakan satu keutamaan dan menjadi agenda yang besar,” katanya.







