Aksesibiliti PKD medium efisien interaksi rakyat-pemimpin - YB Ahmad Zakhran
Oleh: Irham Hilmi Hashim
MACHANG, 13 Julai — Aksesibiliti rakyat untuk berhubung dengan pemimpin terus menjadi keutamaan di Dewan Negeri (DUN) Kemuning menerusi pemerkasaan Pejabat Pusat Khidmat DUN (PKD) dan pelaksanaan program turun padang sebagai medium interaksi yang mudah, pantas dan berkesan.
Ahli Dewan Negeri Kemuning YB Ahmad Zakhran Mat Noor berkata, pendekatan tersebut penting bagi memastikan rakyat mempunyai saluran yang mudah untuk menyampaikan aduan, pandangan dan cadangan secara terus kepada wakil rakyat.
Menurutnya, selain menjadikan PKD sebagai pusat sehenti perkhidmatan kepada masyarakat, pelbagai program lapangan turut dilaksanakan bagi mendekati rakyat di peringkat akar umbi.
“Aksesibiliti merupakan perkara yang dititikberatkan oleh saya sebagai ADN bagi membolehkan interaksi antara rakyat dengan pemimpin berlaku melalui saluran yang mudah dan efisien.
“Selain menyediakan Pejabat Pusat Khidmat DUN yang berfungsi sebagai medium utama, saya juga menjadikan program-program turun padang sebagai medan pertemuan dengan rakyat setempat,” katanya menerusi media sosial selepas menghadiri Program Bicara Wanita di Mukim Pek, semalam.
Beliau berkata, Program Bicara Wanita anjuran Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri Kelantan memberi peluang untuk beliau mendengar sendiri pandangan, permasalahan dan keperluan masyarakat.
“Melalui Program Bicara Wanita ini, saya dapat mengambil peluang dan ruang yang ada untuk mendengar serta berbincang dengan masyarakat berkenaan masalah atau penjelasan yang dikehendaki oleh mereka,” katanya.
Menurutnya, program seumpama itu bukan sahaja mengeratkan hubungan antara rakyat dan pemimpin, malah menjadi platform penting bagi memahami keperluan sebenar masyarakat sebelum sesuatu tindakan atau penyelesaian dirangka.
Program Bicara Wanita dilaksanakan sebanyak sepuluh siri di setiap DUN menerusi penyelarasan Majlis Perundingan Wanita Parlimen (MPWP) di kawasan masing-masing.
Beliau berkata, penganjuran program secara berterusan mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam memastikan rakyat sentiasa mempunyai ruang untuk menyuarakan pandangan serta memperoleh maklumat secara terus daripada pemimpin.
Dalam pada itu, beliau berharap Program Bicara Wanita dapat memberi manfaat kepada peserta dan terus menjadi wadah memperkukuh hubungan antara pemimpin dan masyarakat.
“Pendekatan turun padang dan interaksi secara langsung ini diharap dapat membina komuniti yang lebih sejahtera, prihatin dan saling memahami di DUN Kemuning,” ujarnya.










