Accessibility Tools

Skip to main content

LRA Chicha 2 capai 97 peratus, beroperasi sepenuhnya September ini

Oleh: Asri Hamat

KOTA BHARU, 12 Julai – Loji Rawatan Air (LRA) Chicha 2 di Pasir Hor dengan kapasiti bekalan air bersih sebanyak 20 juta liter sehari (JLH) kini telah mencapai 97 peratus kemajuan pembinaan dan dijangka beroperasi sepenuhnya pada September ini.

Sehubungan itu, Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar YB Dato' Dr Izani Husin berkata projek bernilai kira-kira RM55 juta itu kini berada pada peringkat akhir pembinaan dengan proses percubaan operasi (test run) sedang dijalankan.

Menurutnya, loji berkenaan menggunakan sumber air mentah daripada telaga yang digali melebihi 100 meter, sekali gus menghasilkan air mentah berkualiti dengan kandungan besi (iron) dan mangan yang rendah.

"Setakat hari ini projek siap 97 peratus. Yang belum siap hanya dari sudut mekanikal seperti jalan, pagar dan lain-lain, manakala sistem air semuanya sudah siap.

"Air yang dikeluarkan daripada LRA Chicha 2 juga menepati kehendak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan berkualiti," katanya kepada media selepas mengadakan lawatan kerja di LRA Chicha 2 di Pasir Hor, hari ini.

Menurutnya lagi, loji itu mempunyai hampir 10,000 akaun pengguna, namun kira-kira 2,000 akaun tidak aktif berikutan masalah bekalan air yang tidak mencukupi sebelum ini.

Beliau optimis, berdasarkan hasil percubaan operasi yang sedang dijalankan, bekalan air kini didapati sudah dapat disalurkan dengan lebih baik ke kawasan yang sebelum ini berdepan masalah bekalan.

“Apabila LRA Chicha 2 beroperasi sepenuhnya kelak, masalah bekalan air di Jalan Pasir Putih, Telipot, Pasir Hor, Mulong, Bandar Baru Tunjung, Salor dan Aur Duri dijangka dapat diatasi. Setelah loji ini beroperasi, saya jangka 2,000 akaun yang ditutup atau tidak aktif akan disambung semula dan mana-mana penduduk yang belum mempunyai akaun juga akan membuat permohonan kerana kuantiti air mencukupi serta kualitinya baik," jelasnya.

Mengulas kelebihan loji berkenaan, beliau berkata LRA Chicha 2 dijangka dapat menjimatkan penggunaan tenaga elektrik berbanding loji lain kerana hanya menggunakan air bawah tanah yang dipam terus ke tangki tanpa perlu menyedut air dari lokasi yang jauh.

Selain itu, katanya, loji berkenaan turut menggunakan sistem penapisan baharu yang lebih canggih dan pertama kali digunakan.

Dato’ Dr Izani turut menjelaskan bahawa kerajaan negeri menyasarkan isu sumber air dapat diselesaikan sepenuhnya menjelang 2030.

Tambahnya, berdasarkan kajian yang dijalankan, kapasiti pengeluaran air bersih di Kelantan dijangka mencecah kira-kira 800 juta liter sehari menjelang 2030, berbanding anggaran keperluan penduduk sekitar 600 juta sehari.

Pautan berjaya disalin!