Accessibility Tools

Skip to main content

Penyertaan tiga negara angkat kejohanan seni suara burung ke pentas serantau

Oleh: Irham Hilmi Hashim

PASIR PUTEH, 12 Julai — Penyertaan peserta dari Thailand, Brunei dan Singapura membuktikan Kejohanan Seni Suara Burung Ketitir dan Terkukur Peringkat Parlimen Pasir Puteh semakin mendapat pengiktirafan di peringkat serantau, sekali gus mengangkat Kelantan sebagai destinasi penganjuran acara komuniti berimpak tinggi.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan YB Datuk Kamarudin Md Nor berkata sambutan menggalakkan daripada peserta luar negara menunjukkan kejohanan berkenaan mempunyai potensi besar untuk diketengahkan sebagai produk pelancongan berasaskan komuniti.

“Penganjuran acara seperti ini bukan sahaja mengeratkan silaturahim dalam kalangan penggemar seni suara burung, malah memperkukuhkan kalendar pelancongan Negeri Kelantan melalui penganjuran acara komuniti yang berjaya menarik kehadiran peserta dan pengunjung dari dalam serta luar negara,” katanya.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, YB Datuk Kamarudin Md Nor

Beliau berkata demikian menerusi hantaran di media sosial rasminya selepas merasmikan Kejohanan Seni Suara Burung Ketitir dan Terkukur Peringkat Parlimen Pasir Puteh yang berlangsung di Bong Seri Limbongan pada 2 Mei.

Turut hadir, Ahli Parlimen Pasir Puteh YB Datuk Nik Zawawi Salleh.

Ahli Parlimen Pasir Puteh, YB Datuk Nik Zawawi Salleh

Selain penyertaan antarabangsa, kejohanan itu turut menghimpunkan peserta dari Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Terengganu sekali gus menjadikan Pasir Puteh sebagai tumpuan peminat seni suara burung dari seluruh negara.

Datuk Kamarudin berkata perkembangan tersebut membuktikan acara berasaskan komuniti mampu menjadi platform berkesan untuk mempromosikan Kelantan sebagai destinasi pelancongan yang kaya dengan kepelbagaian budaya, warisan dan aktiviti rekreasi.

Menurutnya, program seumpama itu turut membuka ruang kepada peserta dan pengunjung untuk mengeratkan hubungan persaudaraan serta berkongsi pengalaman dan pengetahuan mengenai seni suara burung.

“Apabila peserta dari dalam dan luar negara sanggup hadir ke Kelantan untuk menyertai kejohanan seperti ini, ia membuktikan acara komuniti mempunyai daya tarikan tersendiri dan berpotensi menjadi antara produk pelancongan yang boleh terus diperkasakan,” ujarnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur atas kejayaan menganjurkan kejohanan tersebut dan berharap ia terus berkembang sebagai acara tahunan yang dinanti-nantikan peminat seni suara burung di rantau ini.

Tambahnya, kesinambungan penganjuran kejohanan itu diyakini mampu memperkukuh sektor pelancongan negeri serta mengangkat nama Kelantan sebagai destinasi pilihan bagi penganjuran acara komuniti bertaraf serantau.

Pautan berjaya disalin!