Accessibility Tools

Skip to main content

Kesiapsiagaan hadapi musim tengkujuh agenda penting Kerajaan Kelantan

  • 20 October 2026
  • Oleh:Asri Hamat | Kredit foto: Unit Media Menteri Besar
  • 26

KOTA DARULNAIM, 20 Oktober - Kesiapsiagaan menghadapi musim tengkujuh terus menjadi agenda penting Kerajaan Negeri Kelantan bagi memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat sentiasa terpelihara ketika berdepan ancaman banjir.

Menteri Besar YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nasuruddin Daud berkata, pengalaman menguruskan bencana banjir setiap tahun menuntut penyelarasan lebih menyeluruh, terutama membabitkan sistem amaran awal, keperluan logistik, Pusat Pemindahan Sementara (PPS) serta kecekapan penyampaian bantuan kepada mangsa.

Beliau turut menyambut baik komitmen Kerajaan Persekutuan untuk memperkukuh peranan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan kerjasama rentas agensi dalam memastikan kesiapsiagaan menghadapi bencana dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Katanya, kesepaduan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri penting bagi memastikan setiap perancangan dapat diterjemahkan kepada tindakan berkesan di lapangan.

“Dalam pengurusan bencana, kita tidak boleh hanya bersedia ketika musibah tiba. Persiapan mesti mendahului ancaman, tindakan mesti mendahului kesulitan dan keselamatan rakyat mesti mengatasi segala pertimbangan,” katanya di media sosial, pada Isnin. 

Katanya lagi, Kerajaan Negeri Kelantan akan terus memperkukuh kerjasama dengan semua pihak bagi memastikan keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara.

Terdahulu, beliau menghadiri Mesyuarat Majlis Pengurusan Bencana Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi meneliti perkembangan semasa serta memperkukuh kesiapsiagaan negara menghadapi pelbagai ancaman bencana.

Katanya, antara perkara utama yang diberikan perhatian dalam mesyuarat itu ialah situasi jerebu yang semakin membimbangkan, khususnya kesannya terhadap kesihatan rakyat dan keselamatan murid di sekolah.

"Mesyuarat turut membincangkan langkah penambahbaikan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan bagi memastikan aspek kesihatan dan kelangsungan pendidikan dapat diurus secara seimbang.

"Selain itu, persediaan menghadapi Monsun Timur Laut yang berpotensi membawa hujan lebat dan banjir turut menjadi tumpuan, selain jangkaan fenomena Super El Nino pada tahun hadapan," katanya.

Pautan berjaya disalin!