Accessibility Tools

Skip to main content

Negeri disaran pinda Undang-Undang Tubuh, peruntuk penubuhan Mahkamah Syariah

  • 19 October 2026
  • Oleh: Asri Hamat
  • 24

KOTA BHARU, 19 Oktober - Peguam Bela dan Peguam Cara Dato' Zainul Rijal Abu Bakar menyarankan negeri-negeri di Malaysia meminda Undang-Undang Tubuh Negeri masing-masing bagi memperuntukkan penubuhan Mahkamah Syariah, sekali gus memperkukuh kedudukannya dalam kerangka perundangan negeri.

Cadangan itu disuarakan susulan keputusan dalam kes Indira Gandhi yang, menurut Tan Sri Zainun Ali, menimbulkan persoalan mengenai kedudukan Mahkamah Syariah berbanding mahkamah sivil.

Kata Dato' Zainul Rijal, selepas keputusan berkenaan, beliau mengunjungi beberapa negeri bagi menyuarakan keperluan meminda Undang-Undang Tubuh Negeri supaya penubuhan Mahkamah Syariah diperuntukkan dalam undang-undang tertinggi negeri.

"Pada masa itu, hanya Terengganu yang mempunyai peruntukan berkaitan penubuhan Mahkamah Syariah dalam Undang-Undang Tubuh Negeri.

"Alhamdulillah, setakat 2026, Kedah, Perak dan Selangor turut mempunyai peruntukan berkenaan dalam Undang-Undang Tubuh Negeri masing-masing."

Beliau berkata demikian dalam slot Wacana Intelektual sempena Persidangan Syariah dan Perundangan  peringkat Negeri Kelantan di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Menurutnya, langkah berkenaan penting bagi mengelakkan tanggapan bahawa penubuhan Mahkamah Syariah hanya bersandarkan enakmen pentadbiran negeri.

Dalam perkembangan berkaitan, Dato' Zainul Rijal turut berkongsi pengalaman sebagai ahli jawatankuasa undang-undang di Selangor, apabila Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menubuhkan sebuah jawatankuasa yang dikenali sebagai Jawatankuasa Berlima.

Beliau berkata, jawatankuasa itu berperanan membincangkan kes berkaitan undang-undang Islam, termasuk kes berprofil tinggi.

Katanya, negeri lain boleh mempertimbangkan penubuhan jawatankuasa seumpama itu atau memanfaatkan dapatan Jawatankuasa Berlima untuk digunakan oleh Majlis Agama Islam Negeri masing-masing.

Selain itu, beliau mencadangkan supaya Majlis Agama Islam negeri-negeri menjalin kerjasama strategik dalam mempertahankan serta mentadbir undang-undang Islam.

Menurutnya, peranan majlis agama tidak seharusnya tertumpu kepada pengurusan zakat dan wakaf semata-mata, sebaliknya turut merangkumi usaha mempertahankan kepentingan Islam.

"Mungkin boleh diwujudkan satu pakatan atau persetujuan antara negeri, iaitu jika undang-undang Islam sesebuah negeri dicabar, Majlis Agama Islam negeri lain boleh bertindak sebagai peguam pemerhati dan sebagainya, seperti dalam kes Nik Elin," katanya.

Pautan berjaya disalin!