Accessibility Tools

Skip to main content

Pelaksanaan syariah menuntut perjuangan - TMB Kelantan

  • 19 October 2026
  • Oleh: Irham Hilmi Hashim
  • 27

KOTA BHARU, 19 Oktober – Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato’ Dr. Mohamed Fadzli Hassan menegaskan bahawa pelaksanaan syariah memerlukan perjuangan berterusan dan kesungguhan kepimpinan, bukan sekadar kesedaran serta kehadiran masyarakat dalam program berkaitan perundangan Islam.

Katanya, kesedaran masyarakat yang hadir dalam Persidangan Syariah dan Perundangan Peringkat Negeri Kelantan Tahun 1448H/2026M merupakan perkembangan positif, namun perlu disusuli usaha nyata bagi merealisasikan pelaksanaan syariah.

Menurutnya, kehadiran hampir 3,000 peserta berbanding sasaran asal sekitar 2,000 orang menunjukkan kesedaran yang meluas, termasuk dalam kalangan peserta dari luar Kelantan, jabatan Persekutuan dan masyarakat bukan Islam.

“Tidak cukup sekadar kita sedar, berfikir, dan hadir dalam konvensyen atau program-program seperti ini, tetapi mesti ada penentangan/perjuangan yang seiring,” katanya ketika merasmikan persidangan berkenaan di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Beliau menekan, pelaksanaan syariah perlu digerakkan secara berperingkat dengan mengambil kira kekangan bidang kuasa yang wujud dalam kerangka perundangan negara.

Sehubungan dengan itu, beliau mengingatkan bahawa usaha yang telah dibina perlu diperbaiki dan dilengkapkan melalui teguran membina, bukannya dirobohkan sehingga segala usaha terpaksa dimulakan semula.

“Namun dalam kejayaan ini, jika ada mana-mana kepincangan, silalah beri teguran. Tetapi jangan runtuhkan apa yang telah dibina,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan bahawa kesungguhan kepimpinan dan kemahuan politik (political will) penting bagi memastikan usaha melaksanakan syariah dapat diteruskan meskipun berhadapan cabaran perundangan.

Mengambil contoh perumpamaan yang pernah digunakan oleh Allahyarham Tok Guru Nik Aziz, beliau menjelaskan bahawa usaha melaksanakan Islam boleh diibaratkan seperti pemanduan pada waktu malam yang hanya dapat melihat jalan sedikit demi sedikit melalui cahaya lampu kenderaan.

Menurutnya, pendekatan itu menggambarkan bahawa sesuatu usaha perlu dimulakan dan diteruskan secara berperingkat sehingga mencapai matlamat yang ditetapkan.

Tegasnya, Kerajaan Negeri Kelantan akan terus memberikan komitmen untuk memperkasakan institusi berkaitan melalui pembangunan sumber manusia, pendidikan, ilmu perundangan serta dasar penggubalan dan pelaksanaan yang mematuhi prinsip syarak dan perlembagaan.

Pautan berjaya disalin!