Accessibility Tools

Skip to main content

Kelantan tegaskan pelaksanaan syariah dalam bidang kuasa negeri

  • 19 October 2026
  • Oleh: Irham Hilmi Hashim
  • 28

KOTA BHARU, 19 Oktober – Kerajaan Negeri Kelantan menegaskan usaha melaksanakan perundangan syariah negeri itu tertumpu dalam lingkungan bidang kuasanya, selaras dengan kerangka perlembagaan dan perundangan yang berkuat kuasa di Malaysia.

Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato’ Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, kerajaan negeri memahami batas kuasa yang ditetapkan dan tidak berniat melaksanakan enakmen berkenaan di luar Kelantan atau merentasi sempadan negeri.

“Kita bukannya mahu melaksanakan perundangan ini di luar Kelantan atau merentasi sempadan, kita mahu melaksanakannya di dalam negeri Kelantan sahaja,” katanya ketika merasmikan Persidangan Syariah dan Perundangan Peringkat Negeri Kelantan Tahun 1448H/2026M di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Menurutnya, enakmen berkenaan ditujukan kepada orang Islam yang melakukan kesalahan di bawah peruntukannya dan tidak terpakai kepada orang bukan Islam.

Beliau berkata, kerajaan negeri memahami pembahagian kuasa antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri dalam sistem federalisme yang diamalkan di Malaysia.

Sehubungan itu, usaha penggubalan perundangan syariah perlu dilaksanakan melalui penelitian terhadap bidang kuasa negeri serta prinsip perlembagaan bagi memastikan peruntukan yang dibentuk berada dalam kerangka undang-undang negara.

“Kami ingin tegaskan bahawa kami sedikit pun tidak berniat untuk mencabar Perlembagaan,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa usaha memperkukuh perundangan syariah melibatkan penelitian dan tafsiran perlembagaan bagi mencari kaedah yang bersesuaian untuk memastikan undang-undang negeri dapat dilaksanakan mengikut punca kuasa yang ditetapkan.

Tambahnya, Kerajaan Negeri Kelantan mengambil cabaran perundangan yang dihadapi sebagai peluang untuk memperbaiki pendekatan penggubalan serta memperkukuh institusi yang terlibat.

Dalam hal itu, beliau menegaskan bahawa pembangunan sumber manusia, pendidikan dan penguasaan ilmu perundangan perlu bergerak seiring dengan pematuhan prinsip syarak serta perlembagaan.

Beliau berharap usaha berterusan tersebut dapat membantu Kelantan memperkukuh pelaksanaan perundangan syariah dalam lingkungan bidang kuasanya, di samping memastikan setiap langkah yang diambil berlandaskan kerangka perundangan negara.

Pautan berjaya disalin!