Perundangan Islam perlu teroka ruang kewangan dan perdagangan moden - Awang Armadajaya
-
19 October 2026
-
Oleh: Irham Hilmi Hashim
-
28
KOTA BHARU, 19 Oktober – Pengamal perundangan dan cendekiawan syariah perlu memperluaskan pemikiran strategik bagi meneroka penerapan prinsip Islam dalam bidang di luar ruang lingkup tradisional undang-undang negeri, termasuk kewangan, perdagangan antarabangsa dan pentadbiran awam.
Peguam Bela dan Peguam Cara yang juga mantan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Malaya Awang Armadajaya Awang Mahmud berkata, perbahasan mengenai undang-undang Islam tidak seharusnya tertumpu kepada Senarai Negeri atau hal ehwal kekeluargaan semata-mata.
“Pengalaman dalam industri perbankan dan kewangan Islam membuktikan bahawa prinsip syarak mempunyai ruang untuk diterapkan dalam bidang moden yang memerlukan kefahaman hukum dan kepakaran teknikal,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan memperkasakan peranan institusi fatwa, mufti dan hakim syarie supaya kepakaran mereka dapat menyumbang kepada penelitian isu kewangan serta sosioekonomi semasa.
"Pembangunan profesionalisme institusi perundangan syariah tidak seharusnya diukur berdasarkan kemudahan fizikal semata-mata, sebaliknya perlu disertai penguasaan ilmu yang mendalam tentang realiti masyarakat dan perkembangan semasa.
"Penguasaan kitab muamalat klasik perlu digabungkan dengan pemahaman teknikal berkaitan instrumen moden seperti takaful dan pasaran modal bagi membolehkan isu kontemporari dinilai secara lebih menyeluruh," katanya.
Beliau berkata demikian ketika Slot 3 (Analisis Perundangan) bertajuk “Kompetensi Dewan Undangan Negeri: Cabaran dan Hala Tuju” sempena Persidangan Syariah dan Perundangan Peringkat Negeri Kelantan Tahun 1448H/2026M di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Tambahnya, penerokaan ruang perundangan yang lebih luas, disokong penguasaan ilmu dan kepakaran profesional, dapat memperkukuh sumbangan institusi perundangan Islam dalam mendepani keperluan masyarakat moden.








