Accessibility Tools

Skip to main content

Maqasid syariah asas penggubalan undang-undang berteraskan keadilan

  • 19 October 2026
  • Oleh: Irham Hilmi Hashim
  • 23

KOTA BHARU, 19 Oktober – Prinsip Maqasid Syariah wajar diterapkan secara menyeluruh dalam proses penggubalan undang-undang negara bagi memastikan setiap peruntukan yang dibentuk berteraskan kebajikan rakyat, keadilan dan pemeliharaan kepentingan manusia.

Peguam bela dan peguam cara yang juga mantan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Malaya Awang Armadajaya Awang Mahmud berkata, Maqasid Syariah perlu difahami sebagai kerangka yang luas dalam memastikan undang-undang memenuhi matlamat pemeliharaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

Menurutnya, penerapan prinsip tersebut dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan tidak seharusnya terhad kepada pemahaman keagamaan yang sempit, sebaliknya perlu diterjemahkan dalam pembentukan perundangan yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Antara pendekatan yang boleh dipertimbangkan ialah memasukkan mukadimah dalam enakmen negeri dan akta persekutuan bagi menjelaskan tujuan, asas serta matlamat sesuatu undang-undang digubal.

"Kerangka Perlembagaan Persekutuan, termasuk kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan di bawah Perkara 3, perlu difahami dalam konteks sejarah dan falsafah pembentukan perlembagaan negara.

"Kerjasama antara badan perundangan, hakim dan penggubal dasar penting bagi memastikan prinsip Maqasid Syariah dapat diterapkan dengan berkesan dalam pembentukan undang-undang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika Slot 3 (Analisis Perundangan) bertajuk “Kompetensi Dewan Undangan Negeri: Cabaran dan Hala Tuju” sempena Persidangan Syariah dan Perundangan Peringkat Negeri Kelantan Tahun 1448H/2026M di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Penerapan Maqasid Syariah secara menyeluruh diharapkan dapat menyumbang kepada pembentukan sistem perundangan yang lebih adil, berkesan dan mengambil kira kepentingan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

Pautan berjaya disalin!