Rakyat diseru dukung perundangan syariah dan Institusi Diraja
-
19 October 2026
-
Oleh: Irham Hilmi Hashim
-
27
KOTA BHARU, 19 Oktober – Seluruh rakyat Kelantan diseru memberikan sokongan kepada usaha memartabatkan perundangan syariah serta mendukung Institusi Diraja dalam memelihara kedudukan agama Islam di negeri ini.
Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud berkata, sokongan masyarakat penting bagi membina kebersamaan dalam usaha memperkukuh perundangan syariah.
Menurutnya, penglibatan rakyat melengkapi usaha kerajaan dan pakar perundangan dalam memastikan kefahaman masyarakat terhadap undang-undang Islam terus dipertingkatkan.
“Selain usaha agensi kerajaan, rakyat sebenarnya perlu memainkan peranan mereka dalam memberikan sokongan padu kepada perundangan syariah termasuk mendukung Institusi Diraja,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan sokongan masyarakat terhadap rang undang-undang yang diluluskan supaya usaha berkaitan perundangan syariah mendapat perhatian dan kefahaman yang sewajarnya.
“Ini penting supaya apabila sesuatu rang undang-undang diluluskan, ia disokong sepenuhnya oleh rakyat dan tidak lagi diperselisihkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Persidangan Syariah dan Perundangan Peringkat Negeri Kelantan Tahun 1448H/2026M di sebuah hotel, di sini, hari ini.
YB Mohd Asri juga berharap kerjasama antara kerajaan negeri, pakar perundangan dan masyarakat dapat terus diperkukuh bagi memelihara kedudukan Islam serta menyokong usaha pemerkasaan perundangan syariah.








