Accessibility Tools

Skip to main content

Hampir 3,000 peserta sertai persidangan syariah Kelantan

  • 19 October 2026
  • Oleh: Irham Hilmi Hashim
  • 39

KOTA BHARU, 19 Oktober – Hampir 3,000 peserta memenuhi dewan Persidangan Syariah dan Perundangan Peringkat Negeri Kelantan Tahun 1448H/2026M, sekali gus memperlihatkan penyertaan meluas dalam program berkaitan pemerkasaan perundangan Islam itu.

Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud berkata, persidangan berkenaan menghimpunkan peserta daripada pelbagai latar belakang untuk bersama-sama mengikuti perbincangan mengenai perundangan syariah.

Menurutnya, kehadiran peserta turut melibatkan pengamal undang-undang sivil dan syariah serta orang awam yang mengikuti perkembangan berkaitan kedaulatan undang-undang negeri.

Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, YB Mohd Asri Mat Daud

Persidangan sempena sambutan Hari Hududullah itu turut dihadiri ketua-ketua hakim syarie negeri dan wakil Majlis Agama Islam negeri-negeri lain, termasuk Sabah.

“Dewan persidangan kita telah dipenuhi oleh hampir 3,000 peserta yang hadir sejak dari pagi tadi bagi memberi sokongan padu kepada persidangan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas persidangan berkenaan di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Penyertaan tersebut menjadi sebahagian daripada platform perkongsian ilmu dan pandangan antara pengamal undang-undang dengan masyarakat dalam membincangkan usaha memperkukuh perundangan syariah.

Pautan berjaya disalin!