Accessibility Tools

Skip to main content

Tokoh, pakar perundangan berhimpun perkukuh syariah Kelantan

  • 19 October 2026
  • Oleh: Irham Hilmi Hashim
  • 77

KOTA BHARU, 19 Oktober – Persidangan Syariah dan Perundangan Peringkat Negeri Kelantan Tahun 1448H/2026M menghimpunkan barisan tokoh serta pakar perundangan tanah air sebagai platform perkongsian kepakaran dalam usaha memperkukuh perundangan syariah di negeri ini.

Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud berkata, penglibatan pakar perundangan sivil dan syariah penting bagi memperluas kefahaman masyarakat mengenai kedaulatan undang-undang negeri.

Menurutnya, persidangan itu turut menjadi ruang untuk menghimpunkan pandangan daripada pelbagai latar belakang kepakaran bagi membincangkan hala tuju pemerkasaan perundangan Islam.

Antara tokoh yang terlibat ialah Pensyarah Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Datuk Dr. Shamrahayu Ab Aziz dan mantan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Malaya, Awang Armadajaya Awang Mahmud.

Turut berkongsi kepakaran ialah Ketua Hakim Syarie Terengganu Dato’ Wan Abd Malik Wan Sidek, peguam bela dan peguam cara Dato’ Zainul Rijal Abu Bakar serta Yusfarizal Yussoff, selain Timbalan Exco Pembangunan Wilayah, Sumber Asli, Integriti, Pembangunan Insan dan Undang-Undang YB Wan Rohimi Wan Daud.

“Alhamdulillah, tokoh-tokoh dan pakar-pakar perundangan telah dijemput khas untuk sama-sama berkongsi pandangan demi memartabatkan syariah di negeri Kelantan,” katanya pada sidang media selepas persidangan berkenaan di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Beliau berkata, perkongsian kepakaran tersebut diharapkan dapat menyumbang kepada usaha memantapkan perundangan syariah supaya terus relevan dan kukuh dalam mendepani cabaran semasa.

Pautan berjaya disalin!