Persidangan Syariah Kelantan desak Pindaan Akta 355 Perlembagaan Persekutuan
-
19 October 2026
-
Oleh: Norzana Razaly
-
38
KOTA BHARU, 19 Oktober – Persidangan Syariah dan Perundangan Peringkat Negeri Kelantan Tahun 1448H/2026M mengemukakan sepuluh resolusi utama termasuk mendesak Kerajaan Persekutuan meminda Perlembagaan Persekutuan dan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) bagi memperkukuh bidang kuasa perundangan syariah di negara ini.
Resolusi berkenaan turut menuntut Kerajaan Persekutuan mendedahkan laporan akhir Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Negeri (DUN) untuk Menggubal Undang-Undang Islam yang ditubuhkan bagi meneliti kompetensi serta had bidang kuasa DUN dalam penggubalan undang-undang Islam.
Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud berkata, antara ketetapan utama persidangan adalah mendesak Kerajaan Persekutuan mengemukakan cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi memelihara dan memperkukuh sempadan bidang kuasa negeri dalam perundangan syariah serta pentadbiran agama Islam.
Menurutnya, cadangan tersebut turut bertujuan memperjelas dan memperkemas bidang kuasa Mahkamah Syariah selain mengelakkan pertindihan bidang kuasa serta campur tangan yang boleh menjejaskan kewibawaan institusi kehakiman syariah.
"Persidangan mendesak Kerajaan Persekutuan supaya menyegerakan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 [Akta 355] bagi meningkatkan had kuasa hukuman Mahkamah Syariah kepada hukuman yang lebih wajar selaras dengan perkembangan perundangan, keperluan semasa dan realiti masyarakat," katanya ketika membacakan resolusi berkenaan.
Beliau membacakan Resolusi Persidangan Syariah dan Perundangan 2026 pada sesi penutup Persidangan Syariah dan Perundangan Peringkat Negeri Kelantan Tahun 1448H/2026M di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, YB Mohd Asri berkata, persidangan turut menetapkan supaya hubungan baik dan kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri serta institusi Diraja terus diperkukuh bagi memelihara kedaulatan syariah, kedudukan agama Islam dan keadilan seluruh rakyat.
Katanya lagi, kerjasama tersebut perlu berteraskan prinsip Raja sebagai Ketua Agama Islam mengikut kedudukan masing-masing dalam kerangka perlembagaan bagi mencapai matlamat maqasid syariah.
Dalam aspek penggubalan undang-undang, persidangan menggesa supaya dasar penggubalan undang-undang syariah di seluruh negeri diperkemas bagi memastikan setiap peruntukan yang digubal selaras dengan punca kuasa yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan.
Beliau memaklumkan, persidangan turut mengusulkan supaya garis panduan khusus penggubalan undang-undang syariah dirangka dengan mengambil kira prinsip Piagam Madinah sebagai model dalam pembangunan kerangka perundangan.
Selain itu, persidangan menetapkan supaya kajian terhadap kesesuaian penyeragaman undang-undang syariah di seluruh negeri dilaksanakan melalui model perundangan yang mengambil kira keperluan dan konteks setiap negeri tanpa menjejaskan kuasa badan perundangan negeri.
Dalam menghadapi cabaran perundangan semasa, persidangan turut menggariskan keperluan membangunkan pendekatan strategik yang menyeluruh dan bersepadu bagi mendepani litigasi terancang (strategic litigation) terhadap undang-undang negeri.
Menurut YB Mohd Asri, pendekatan tersebut merangkumi pengenalpastian awal risiko litigasi, penilaian komprehensif terhadap perundangan sedia ada, pemerkasaan penyelidikan dan analisis perundangan serta penyelarasan kepakaran antara agensi Kerajaan Negeri, ahli akademik dan pengamal undang-undang.
"Persidangan membuat ketetapan agar usaha memperkukuh pembangunan profesionalisme, kompetensi dan kepakaran pegawai dalam bidang penyelidikan dan penggubalan undang-undang, kehakiman, pendakwaan serta penguatkuasaan Syariah diteruskan selaras dengan perkembangan semasa dan kemunculan teknologi baharu serta kemajuan kecerdasan buatan," katanya.
Beliau menjelaskan bahawa pembangunan kepakaran tersebut penting bagi memastikan institusi perundangan syariah mempunyai keupayaan menghadapi cabaran baharu termasuk perubahan teknologi yang semakin mempengaruhi sistem pentadbiran dan penguatkuasaan undang-undang.
Mengakhiri pembacaan resolusi, YB Mohd Asri berkata, persidangan turut menggesa seluruh umat Islam memberikan sokongan penuh terhadap usaha memartabatkan perundangan syariah serta mendukung institusi Diraja sebagai benteng agama Islam.










