Accessibility Tools

Skip to main content

Kesultanan Melayu pelindung Islam, pemangkin sistem Perundangan Syariah

  • 19 October 2026
  • Oleh: Norzana Razaly
  • 38

KOTA BHARU, 19 Oktober – Institusi Kesultanan Melayu perlu memainkan peranan lebih luas daripada sekadar mempertahankan kedudukan Islam dengan menjadi pemangkin kepada pembaharuan dan pemerkasaan sistem Perundangan Syariah yang berwibawa, adil serta relevan dengan perkembangan semasa.

Pensyarah Kulliyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim Universti Islam Antarabangsa Malaysia (AIKOL) yang juga Pakar Perlembagaan Profesor Datuk Dr. Shamrahayu Abdul Aziz berkata, institusi beraja menjadi benteng yang melindungi kedudukan Islam daripada ancaman dalaman dan luaran  bertanggungjawab memastikan perundangan Islam terus berkembang dan berfungsi dalam kerangka Perlembagaan negara.

Menurutnya, peranan tersebut merangkumi usaha memelihara kedudukan Islam, menaungi institusi agama serta menggalakkan pembangunan perundangan syariah yang berkualiti.

“Kesultanan Melayu perlu berperanan sebagai pemelihara kedudukan Islam, penaung institusi agama dan pemangkin kepada pembangunan perundangan Islam yang berwibawa, adil serta relevan dengan keperluan semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Slot 2 (Refleksi Sarjana) “Kesultanan Melayu Benteng Kedaulatan Undang-Undang Syariah” di Persidangan Syariah dan Perundangan Peringkat Negeri Kelantan Tahun 1448H/2026M di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Mengulas kedudukan institusi beraja dalam sistem perundangan negara, beliau menjelaskan bahawa tiga institusi utama, iaitu Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja Pemerintah negeri dan Majlis Raja-Raja mempunyai peranan masing-masing dalam memelihara kedudukan Islam serta pentadbiran undang-undangnya.

Katanya, kedudukan tersebut diperkukuh melalui Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan Undang-Undang Tubuh negeri yang mengiktiraf Raja Pemerintah sebagai Ketua Agama Islam.

“Di Kelantan, Perkara 6 Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan memperuntukkan kedudukan Sultan sebagai Ketua Agama Islam negeri dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan berperanan membantu serta menasihati baginda.

“Kedudukan ini memperlihatkan bahawa institusi Kesultanan Melayu merupakan lambang sejarah dan warisan pemerintahan dan turut mempunyai fungsi perlembagaan yang penting dalam memastikan kelangsungan pentadbiran Islam,” jelasnya.

Mantan Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu juga menegaskan, usaha mempertahankan undang-undang syariah tidak bermaksud semua peruntukan sedia ada perlu dikekalkan tanpa penilaian atau pembaharuan.

Beliau juga berpandangan, institusi Kesultanan Melayu perlu menjadi pemangkin kepada penyelidikan, semakan dan penambahbaikan enakmen syariah supaya selaras dengan prinsip Islam, kehendak Perlembagaan serta keperluan masyarakat.

“Prinsip utamanya ialah mempertahankan Syariah melalui perundangan yang berkualiti, bukan sekadar mempertahankan kewujudan sesuatu undang-undang,” tegasnya.

Beliau turut menggariskan kepentingan penyelarasan perundangan antara negeri apabila bersesuaian tanpa mengabaikan bidang kuasa negeri dan kepelbagaian pandangan fiqh.

Sehubungan  dengan itu, kedudukan Majlis Raja-Raja boleh dimanfaatkan sebagai platform strategik untuk membincangkan cabaran bersama institusi agama, menggalakkan penyelarasan pentadbiran Islam dan memperkukuh kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri.

Beliau mengingatkan, peranan Raja-Raja Melayu sebagai penaung dan pemelihara agama hendaklah sentiasa dilaksanakan menurut Perlembagaan Persekutuan serta Perlembagaan Negeri masing-masing.

Tegasnya, kedudukan tersebut tidak dengan sendirinya memberikan kuasa tanpa batas untuk menggubal undang-undang atau mengarahkan keputusan kehakiman.

Justeru, pemerkasaan institusi Kesultanan Melayu perlu bergerak seiring dengan pematuhan prinsip perlembagaan bagi memastikan kedaulatan Islam terus dipelihara melalui sistem perundangan yang sah, berkesan dan dihormati.

Pautan berjaya disalin!