Kelantan susun semula elemen kesalahan syariah, bukan sekadar ganti 16 peruntukan – YB Wan Rohimi
-
19 October 2026
-
Oleh: Syamimi Manah
-
42
KOTA BHARU, 19 Oktober – Kerajaan Negeri Kelantan mengambil pendekatan menyusun semula keseluruhan elemen kesalahan Syariah dalam penggubalan baharu Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019, bukannya sekadar menggantikan 16 peruntukan yang dibatalkan Mahkamah Persekutuan.
Timbalan Exco Pembangunan Wilayah, Sumber Asli, Integriti, Pembangunan Insan dan Undang-Undang YB Wan Rohimi Wan Daud berkata, pendekatan itu dirangka dengan mengambil kira keputusan mahkamah serta bidang kuasa Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam menggubal undang-undang berkaitan Islam.
Menurutnya, kerajaan negeri perlu meneliti kaedah penggubalan yang bersesuaian bagi memastikan peruntukan baharu mengambil kira ruang lingkup kesalahan agama tanpa mencabar keputusan Mahkamah Persekutuan dan kerangka Perlembagaan Persekutuan.
“Yang batal itu 16. Yang kami ubah semula, semua keseluruhan elemen itu kita buat baharu. Bahkan kita rebranding,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan moderator dalam slot Wacana Intelektual bertajuk Penggubalan Semula Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 sempena Persidangan Syariah dan Perundangan Peringkat Negeri Kelantan Tahun 1448H/2026M di sebuah hotel, di sini, hari ini.
YB Wan Rohimi memaklumkan, proses penggubalan semula bermula selepas keputusan Mahkamah Persekutuan pada 9 Februari 2024 yang membatalkan 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019.
Susulan keputusan itu, Dewan Negeri Kelantan meluluskan usul pada 6 Mac 2024 bagi mempertahankan undang-undang Syariah dan menggubal semula peruntukan yang dibatalkan.
Katanya lagi, kerajaan negeri kemudian menubuhkan jawatankuasa induk dan jawatankuasa teknikal bagi mengendalikan proses penggubalan, dengan beliau diberikan tanggungjawab menguruskan jawatankuasa teknikal.
Tambahnya, proses itu turut melibatkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Jemaah Ulama Kelantan serta pakar undang-undang dan ahli akademik daripada beberapa universiti tempatan.
“Dalam beberapa jawatankuasa ini kita libatkan sampai 14 orang pakar undang-undang,” ujarnya.
Menurutnya, jawatankuasa teknikal mengadakan hampir 10 bengkel dalam tempoh kira-kira lapan bulan bagi membincangkan dan menyediakan draf baharu sebelum dikemukakan untuk penelitian lanjut oleh jawatankuasa serta institusi berkaitan.
Beliau berkata, proses berkenaan memerlukan perbincangan mendalam bagi mencari pendekatan penggubalan yang bersesuaian dengan asas hukum Syariah dan kerangka perlembagaan.
“Macam mana nak gubal benda baharu tanpa cabar terus keputusan Mahkamah Persekutuan dan tanpa mencabar perlembagaan,” jelasnya.
YB Wan Rohimi juga menjelaskan, penggubalan baharu itu memberi tumpuan kepada ruang lingkup kesalahan yang melibatkan akidah, akhlak dan kesucian institusi, dengan mengambil kira bidang kuasa negeri.
Tambahnya, pendekatan itu turut melibatkan penelitian semula elemen kesalahan berdasarkan konsep fiqh, termasuk dalam merangka peruntukan berkaitan kesalahan Syariah.
“Semua yang kita kanunkan yang baharu dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan 2026 ini adalah berdasarkan ruang lingkup pure religious offences yang melibatkan akidah, akhlak dan kesucian institusi-institusi,” ujarnya.
Enakmen baharu itu diluluskan pada 12 Ogos 2026 selepas melalui proses penggubalan dan penelitian oleh jawatankuasa serta institusi berkaitan.








