Accessibility Tools

Skip to main content

Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, YB Mohd Asri Mat Daud


Persidangan Syariah Kelantan himpunkan pakar, teliti penambahbaikan perundangan negeri – YB Mohd Asri

  • 19 October 2026
  • Oleh: Syamimi Manah
  • 58

KOTA BHARU, 19 Oktober – Persidangan Syariah dan Perundangan Peringkat Negeri Kelantan Tahun 1448H/2026M menjadi platform menghimpunkan ilmuwan dan pengamal undang-undang bagi meneliti cabaran serta mengenal pasti pendekatan untuk menambah baik sistem perundangan Syariah di negeri ini.

Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud berkata, persidangan berkenaan bertujuan memperkukuh kefahaman terhadap kedudukan institusi diraja, perkembangan perundangan Syariah dan bidang kuasa perundangan negeri dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, pertemuan pakar daripada pelbagai bidang itu penting bagi menyatukan kepakaran, memperluas pertukaran pandangan serta menghasilkan cadangan yang dapat menyumbang kepada penambahbaikan perundangan Syariah.

“Kita mahu setiap perbincangan yang berlangsung ini dapat membuka ruang penelitian yang lebih luas, mempertemukan pelbagai sudut pandangan, serta menghasilkan buah fikiran yang bernas dan membina,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Persidangan Syariah dan Perundangan Peringkat Negeri Kelantan Tahun 1448H/2026M yang bertemakan Memperkasa Kedaulatan Syariah Melalui Institusi Diraja dan Perundangan Negeri di sebuah hotel, di sini, hari ini.

YB Mohd Asri memaklumkan, persidangan itu mempunyai tiga matlamat utama, iaitu memperkukuh kefahaman mengenai kedudukan institusi diraja dan bidang kuasa perundangan negeri, menyediakan platform perbincangan ilmiah serta profesional dan menghasilkan kertas cadangan serta resolusi untuk penambahbaikan perundangan Syariah.

“Usaha besar ini menuntut kesepaduan pemikiran, ketelitian perundangan, kekuatan institusi, serta kerjasama erat antara pihak yang menggubal, tafsir dan melaksanakan undang-undang,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan bahawa perundangan syariah tidak seharusnya dilihat hanya dari sudut peruntukan, kesalahan dan hukuman, sebaliknya perlu berteraskan prinsip keadilan, pemeliharaan agama, kesejahteraan hidup serta perlindungan hak dan maruah manusia.

Tambahnya, prinsip keadilan dan amanah perlu menjadi pedoman dalam pentadbiran serta pelaksanaan undang-undang bagi memastikan setiap usaha penambahbaikan memberikan manfaat kepada agama, negeri dan masyarakat.

“Dalam konteks ini kita harus menyedari bahawa perundangan Syariah bukan sahaja berkait dengan peruntukan, kesalahan dan hukuman semata-mata. Sebaliknya syariah mendukung prinsip keadilan, pemeliharaan agama, kesejahteraan kehidupan, kemaslahatan masyarakat serta perlindungan terhadap hak dan maruah manusia,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau juga menekankan institusi diraja mempunyai kedudukan penting dalam kesinambungan pentadbiran agama Islam di Kelantan, selaras dengan kedudukan Sultan Kelantan sebagai Ketua Agama Islam negeri.

Jelasnya, hubungan antara institusi pemerintahan, perkembangan agama Islam dan tradisi perundangan di negeri-negeri Melayu merupakan warisan yang perlu difahami, dihargai dan dipelihara.

“Hubungan ini bukan sekadar warisan sejarah yang perlu kita kenang semata-mata, bahkan merupakan suatu khazanah institusi yang wajar terus difahami, dihargai dan dipelihara,” jelasnya.

Persidangan itu menampilkan lima slot utama yang merangkumi pelbagai aspek sejarah, institusi dan perkembangan perundangan Syariah.

Slot berkenaan ialah Transformasi Perundangan Syariah Kelantan, Kesultanan Melayu Benteng Kedaulatan Undang-Undang Syariah, Kompetensi Dewan Undangan Negeri: Cabaran dan Hala Tuju, Memperkasa Institusi Kehakiman Syariah Negeri serta Wacana Intelektual Penggubalan Semula Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019.

YB Mohd Asri berkata, gabungan kelima-lima slot itu diharap dapat memberikan perspektif menyeluruh mengenai sejarah, kedudukan institusi, perkembangan sistem perundangan, bidang kuasa negeri, kewibawaan institusi kehakiman dan proses penggubalan undang-undang.

“Saya menaruh harapan agar persidangan ini menjadi satu medan ilmuwan yang berkesan memperkukuh persefahaman antara institusi, serta menghasilkan manfaat yang berkekalan kepada pembangunan perundangan Syariah di negeri Kelantan dan di Malaysia amnya,” ujarnya.

Persidangan itu dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK) dengan kerjasama Bahagian Undang-Undang, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan.

Pautan berjaya disalin!