Accessibility Tools

Skip to main content

Pertandingan seni suara burung tekukur pelihara warisan tradisi - Datuk Kamaruddin

  • 19 October 2026
  • Oleh: Asri Hamat | Kredit foto: FB Datuk Kamarudin Md Nor
  • 37

KOTA DARULNAIM, 19 Oktober -  Penganjuran Pertandingan Seni Suara Burung Tekukur 2026 Peringkat Kebangsaan berjaya menghimpunkan peminat seni suara burung tekukur dari seluruh negara sekali gus berperanan memelihara tradisi dan warisan masyarakat yang diwarisi sejak turun-temurun.

Demikian kata Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Kelantan, YB Datuk Kamaruddin Md Nor di media sosial, pada Ahad.

Beliau berpandangan, program seumpama itu perlu diteruskan pada masa akan datang bagi memastikan warisan tradisi berkenaan kekal relevan.

"Pertandingan itu juga berpotensi menjadi tarikan pelancongan berasaskan budaya dan warisan yang dapat memperkenalkan keunikan Kelantan kepada masyarakat luar," katanya.

Terdahulu, beliau mewakili Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato' Dr Mohamed Fadzli Dato' Hassan menyempurnakan perasmian dan penyampaian hadiah pertandingan berkenaan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).

Pertandingan itu berlangsung di Gelanggang Suara Burung Tekukur, Pangkal Meleret, Machang, pada Sabtu.

Sebanyak 156 ekor burung tekukur mengambil bahagian dalam pertandingan berkenaan yang mempertandingkan tiga kategori utama, iaitu Kategori AB, Kategori C dan Kategori Remaja.

Program itu turut menghimpunkan peminat dan peserta dari Kedah, Kuala Lumpur, Terengganu serta Kelantan selaku tuan rumah.

Datuk Kamaruddin turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak penganjur, peserta serta semua pihak yang menjayakan pertandingan berkenaan.

Beliau berharap usaha bersama itu dapat terus menyemarakkan warisan tradisi selain menyumbang kepada perkembangan sektor pelancongan, kebudayaan, kesenian dan warisan di Kelantan.

Pautan berjaya disalin!