Dato' Mumtaz sambut baik elaun pelajar tingkatan enam, minta penjelasan kelayakan pelajar STAM
-
19 October 2026
-
Oleh: Asri Hamat
-
34
KUALA LUMPUR, 19 Oktober - Ahli Parlimen Tumpat YB Dato’ Mumtaz Md Nawi menyambut baik pengumuman elaun sara hidup RM2500 kepada murid tingkatan enam setara elaun pelajar Matrikulasi Yang akan memanfaatkan 90000 pelajar.
Namun beliau meminta penjelasan kerajaan sama ada pelajar Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), termasuk pelajar di bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK), turut layak menerima elaun sara hidup tersebut yang diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2027.
"Tumpat menyambut baik pengumuman pemberian elaun berkenaan yang disetarakan dengan elaun pelajar matrikulasi dan dijangka memberi manfaat kepada 90,000 pelajar.
Namun persoalanya adakah pelajar Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) yang termasuk pelajar Yayasan Islam Kelantan (YIK) turut layak untuk mendapatkan bantuan sara hidup ini," katanya ketika mengambil bahagian dalam perbahasan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, pada Khamis.
Menyentuh mengenai projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), YB Dato' Mumtaz berkata, berdasarkan perkembangan dan laporan terkini, perkhidmatan itu dijangka mula beroperasi pada Disember ini.
Beliau turut merujuk kenyataan Perdana Menteri dalam ucapan Belanjawan 2027 bahawa Malaysia dan China sudah mencapai persetujuan untuk menyambung laluan ECRL ke Rantau Panjang.
Walau bagaimanapun, katanya, cadangan berkenaan masih belum dibawa ke Parlimen, manakala jajaran, kos dan jadual pelaksanaannya belum dimuktamadkan.
Sehubungan dengan itu, beliau meminta kerajaan menjelaskan sama ada cadangan sambungan berkenaan sudah dimuktamadkan sepenuhnya.
"Sekiranya perkara itu masih dalam rundingan, perkembangannya perlu dijelaskan secara telus kepada rakyat supaya harapan mereka tidak mendahului keputusan yang belum dimuktamadkan," katanya.
Dalam pada itu, YB Dato' Mumtaz mengemukakan beberapa cadangan bagi memastikan perkhidmatan ECRL dapat dinikmati rakyat pada kadar tambang yang mampu milik.
Antaranya ialah memperkenalkan pas bulanan ECRL seperti pas My50 Community yang diperkenalkan KTM Komuter dalam Belanjawan 2027.
Beliau turut mencadangkan pilihan tiket dengan tempat duduk tetap dan tanpa tempat duduk tetap bagi memastikan tambang kekal mampu milik.
Selain itu, beliau mencadangkan supaya kerajaan melalui Kementerian Pengangkutan (MOT) menyediakan perkhidmatan tren ekspres terus dari Gombak ke Kota Bharu tanpa berhenti di stesen lain.
Menurutnya, permintaan terhadap perkhidmatan kereta api dari Kuala Lumpur ke Kelantan masih tinggi dan keadaan itu membuka peluang kepada kerajaan untuk memacu serta merancakkan ekonomi bumiputera di Pantai Timur.
“Pastikan ia benar-benar membela rakyat untuk bergerak dan mencari rezeki serta senanglah pelancong untuk terus mendapat akses ke destinasi baharu pelancongan seperti Kota Bharu,” ujarnya.








