Accessibility Tools

Skip to main content

Transformasi perundangan syariah perlu ambil kira batas kuasa perlembagaan – YB Nik Bahrum

  • 19 October 2026
  • Oleh: Syamimi Manah | Kredit foto: Media YB Zamakhshari
  • 50

KOTA BHARU, 19 Oktober – Transformasi perundangan syariah di Kelantan perlu mengambil kira batas kuasa perlembagaan bagi memastikan setiap usaha penggubalan dan pelaksanaan undang-undang dilaksanakan melalui saluran yang sah.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Chempaka YB Nik Bahrum Nik Abdullah berkata, transformasi perundangan tidak seharusnya tertumpu kepada pindaan enakmen atau penggubalan undang-undang baharu semata-mata, sebaliknya perlu dinilai berdasarkan kesahan kuasa, kebolehgunaan, keadilan dan keberkesanannya dalam menyelesaikan masalah masyarakat.

“Kita perlu menilai sama ada undang-undang tersebut mempunyai asas kuasa yang sah, boleh dilaksanakan, memberikan keadilan dan mampu menyelesaikan masalah masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama bertajuk Transformasi Perundangan Syariah Kelantan pada Persidangan Syariah dan Perundangan Peringkat Negeri Kelantan Tahun 1448H/2026M di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Persidangan bertemakan Memperkasa Kedaulatan Syariah Melalui Institusi Diraja dan Perundangan Negeri itu turut membincangkan sejarah perkembangan perundangan Islam di Kelantan, faktor transformasi serta cabaran dan hala tuju pada masa hadapan.

Mengulas sejarah perundangan Islam negeri, YB Nik Bahrum memaklumkan, perkembangan tersebut mempunyai akar yang panjang melalui tradisi pendidikan Islam, institusi pondok dan hubungan keilmuan dengan pusat pengajian Islam seperti Patani, Makkah, Madinah dan Mesir.

Bagaimanapun, perubahan struktur pemerintahan ketika era British serta pembahagian kuasa selepas kemerdekaan telah mempengaruhi ruang pelaksanaan undang-undang Islam.

“Persoalan ini sangat relevan kepada Kelantan yang mempunyai sejarah perundangan Islam yang panjang tetapi berhadapan dengan cabaran bidang kuasa negeri dalam kerangka perundangan tersebut,” ujarnya.

Menurutnya, pembahagian kuasa perundangan antara Parlimen dengan Dewan Undangan Negeri berdasarkan Perlembagaan Persekutuan menjadikan pemahaman terhadap bidang kuasa setiap institusi penting dalam usaha memperkasa perundangan Syariah.

Katanya lagi, persoalan mengenai pihak yang mempunyai kuasa menggubal undang-undang dan batas bidang kuasa Mahkamah Syariah perlu difahami bagi memastikan usaha memperkukuh perundangan Islam dilaksanakan mengikut kerangka perlembagaan.

Beliau turut menyentuh usaha kerajaan negeri memperluas pelaksanaan undang-undang Islam menerusi penggubalan Kanun Jenayah Syariah (II) pada 1993 yang berhadapan dengan persoalan bidang kuasa perlembagaan dan perundangan Persekutuan.

Dalam perkembangan berkaitan, YB Nik Bahrum berkata, transformasi perundangan Syariah juga perlu mengambil kira perubahan keperluan masyarakat, khususnya berkaitan urusan kekeluargaan Islam seperti nafkah anak, mutaah dan hak penjagaan anak.

“Undang-undang bukan sahaja menyatakan sesuatu hak, tetapi hak tersebut sebenarnya boleh dituntut dan dikuatkuasakan,” jelasnya.

Beliau memberikan contoh perintah nafkah anak yang tidak dilaksanakan, sekali gus menimbulkan persoalan tentang sejauh mana hak yang diputuskan mahkamah dapat dinikmati oleh pihak yang berhak.

Menurutnya, penggubalan enakmen keluarga Islam Kelantan yang baharu pada 2025 merupakan antara usaha menyesuaikan undang-undang dengan keperluan semasa, termasuk berkaitan nafkah, mutaah dan tanggungjawab keluarga.

Selain itu, pembangunan institusi dan profesionalisme dalam sistem kehakiman turut menjadi faktor penting dalam transformasi perundangan Syariah.

Tegasnya, hakim, peguam syarie dan pegawai penguat kuasa perlu mempunyai kemahiran serta pemahaman yang baik terhadap undang-undang substantif, tatacara, keterangan dan batas kuasa masing-masing bagi memastikan proses perundangan dilaksanakan dengan teratur.

Tambahnya, transformasi perundangan Syariah perlu disokong proses penggubalan yang teratur, penelitian undang-undang yang mendalam serta kerjasama antara kepimpinan negeri, institusi agama, penasihat undang-undang dan Dewan Negeri.

Pautan berjaya disalin!