PauDeen peroleh sijil halal Malaysia, perkukuh keyakinan terhadap produk tempatan
-
19 October 2026
-
Oleh: Irham Hilmi Hashim
-
48
KOTA DARULNAIM, 19 Oktober – Produk pau jenama PauDeen keluaran Saipuddin Empire Sdn. Bhd. menerima Sijil Pengesahan Halal Malaysia, sekali gus memperluas pengiktirafan terhadap produk tempatan dalam industri halal negara.
Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud berkata demikian dalam kenyataan di media sosialnya selepas menyampaikan sijil berkenaan di kilang baharu syarikat itu di kawasan perindustrian Pengkalan Chepa, semalam.
Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, YB Mohd Asri Mat Daud
Menurutnya, usaha mendapatkan pensijilan halal itu membuktikan kesungguhan pengusaha dalam memartabatkan industri halal tanah air serta memenuhi komitmen terhadap pengeluaran produk tempatan.
“Usaha beliau mendapatkan sijil halal ini merupakan usahanya yang sekian lama, juga bukti kesungguhannya dalam memartabatkan industri halal tanah air,” menurutnya.
PauDeen memulakan perniagaan secara kecil-kecilan pada tahun 2018 sebelum berkembang menerusi sistem ejen perniagaan ke perniagaan (B2B). Penjenamaan berskala besar bermula pada Mac 2021, dengan pasaran produknya kini meliputi Semenanjung Malaysia hingga Singapura.
Syarikat itu kini menghasilkan antara 10,000 hingga 15,000 biji pau sehari dengan sokongan 40 pekerja.
Dalam majlis sama, YB Mohd Asri turut merasmikan pakej perniagaan Coley PauDeen Titanium, iaitu pakej lengkap Premium berharga RM18,000, manakala pakej biasa bagi sebuah Coley ditawarkan pada harga RM10,000.
Penyampaian sijil berkenaan diharap dapat menjadi dorongan kepada lebih ramai pengusaha tempatan untuk mendapatkan pensijilan halal, sekali gus memperkukuh keyakinan pengguna terhadap produk keluaran tempatan dan menyokong perkembangan industri halal negara.














