Accessibility Tools

Skip to main content

Karnival Rakyat Kelantan 2026 sempena 36 tahun MBI sasar 100,000 pengunjung

  • 18 October 2026
  • Oleh: Syamimi Manah
  • 57

KOTA DARULNAIM, 18 Oktober – Karnival Rakyat Kelantan 2026 yang akan berlangsung pada 22 hingga 24 Oktober ini menyasarkan kehadiran lebih 100,000 pengunjung sempena Sambutan 36 Tahun Pentadbiran Membangun Bersama Islam (MBI).

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi selaku Pengarah Program YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata, karnival yang berpusat di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu dan kawasan sekitarnya itu menyediakan pelbagai pengisian untuk seisi keluarga.

Menurutnya, penganjuran selama tiga hari itu merangkumi aktiviti ilmu, kerohanian, kebudayaan, teknologi dan kemasyarakatan bagi memberi peluang kepada rakyat menyertai program yang bermanfaat.

“Untuk malam kemuncak dan program-program yang berlangsung, kita menganggarkan jumlah kehadiran melebihi 100,000 orang yang akan memenuhi ruang stadium,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Karnival Rakyat Kelantan 2026 di Mabna, Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi selaku Pengarah Program, YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat

Antara pengisian yang disediakan ialah pameran teknologi dan digital, pameran agensi keselamatan melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, selain Food Fest untuk pengunjung.

Karnival itu turut menampilkan bicara santai bersama tokoh jemputan, Kuliah Maghrib Perdana bersama Ustaz Azhar Idrus, Kuliah Pagi Jumaat Perdana, Wanita Kelantan Berselawat bersama Datuk Dr. Ustazah Nur Hafizah Musa.

Pengunjung juga berpeluang menyertai solat hajat dan munajat di Stadium Sultan Muhammad IV, selain menikmati persembahan kesenian Islam oleh kumpulan The Rayhan dan UNIC.

Pengisian Mmene Ore Kelate turut diketengahkan bagi mengimbau kembali kehidupan masyarakat terdahulu menerusi permainan tradisional yang pernah menjadi sebahagian daripada budaya masyarakat Kelantan.

Dato’ Wan Roslan berkata, pelbagai pengisian itu disusun bagi membolehkan rakyat bersama-sama menikmati program yang bermanfaat, mengeratkan silaturahim dan menyemarakkan semangat kebersamaan dalam masyarakat.

Mengulas mesej utama sambutan, beliau memaklumkan, prinsip MBI terus menjadi asas pentadbiran negeri dengan Islam dijadikan panduan dalam menangani pelbagai isu, termasuk masalah sosial dan perpaduan masyarakat.

“Semua teori kita ini boleh dibuat, tetapi kita berpandukan kepada Islam. Asas Kelantan Membangun Bersama Islam ialah menjadikan Islam sebagai panduan dalam setiap pentadbiran yang kita laksanakan,” jelasnya.

Menurutnya lagi, pembangunan negeri bukan hanya tertumpu kepada kemajuan fizikal, sebaliknya perlu bermula dengan pembangunan insan melalui penguasaan ilmu dan pembentukan akhlak.

Beliau berkata, pendidikan yang menitikberatkan kedua-dua aspek itu penting bagi melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mempunyai akhlak terpuji.

“Kalau manusia tidak dibangunkan dengan ilmu, pembangunan yang dilaksanakan tidak akan menjadi pembangunan yang holistik,” ujarnya.

Sehubungan dengan itu, beliau mempersilakan seluruh rakyat Kelantan, termasuk anak-anak Kelantan di perantauan, untuk hadir memeriahkan Karnival Rakyat Kelantan 2026 yang berlangsung selama tiga hari berkenaan.

Pautan berjaya disalin!