Penggerak komunikasi kerajaan perlu kuasai undang-undang, elak risiko implikasi perundangan
-
18 October 2026
-
Oleh: Norzana Razaly
-
42
KOTA DARULNAIM, 18 Oktober – Penguasaan undang-undang komunikasi, keselamatan siber dan dasar kerajaan menjadi keperluan penting bagi memastikan penggerak jaringan komunikasi Kerajaan Negeri Kelantan menyampaikan maklumat secara tepat, beretika dan berkesan tanpa terdedah kepada implikasi perundangan.
Pengarah Pusat Kajian Strategik Negeri Kelantan (PKS) Dato’ Dr. Wan Nik Wan Yusoff berkata, kefahaman tersebut membolehkan pegawai yang mengendalikan komunikasi rasmi membuat pertimbangan secara matang, khususnya dalam mengurus kandungan digital serta menjelaskan dasar kerajaan kepada masyarakat.
Menurutnya, kecekapan komunikasi diukur melalui kepantasan penyebaran maklumat dan turut bergantung pada ketepatan fakta, pematuhan undang-undang dan keupayaan membina kefahaman masyarakat terhadap sesuatu dasar.
“Penggerak jaringan komunikasi, siber dan dasar kerajaan perlu mempunyai kefahaman perundangan yang jelas supaya setiap kandungan yang dihasilkan selamat, kompeten dan berkesan dalam memberikan gambaran sebenar mengenai dasar Kerajaan Negeri Kelantan.
“Pendekatan ini penting bagi mengelakkan risiko perundangan, salah tafsir serta pembentukan persepsi yang tidak berasaskan fakta,” katanya.
Beliau berkata demikian berhubung penganjuran Taklimat Undang-Undang Komunikasi, Siber dan Dasar-Dasar Kerajaan Negeri Kelantan anjuran Pusat Kajian Strategik Negeri Kelantan yang berlangsung di sebuah hotel, di sini, pada Jumaat.
Program berkenaan menghimpunkan 60 peserta terdiri daripada pegawai kanan agensi kerajaan, pegawai media Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) serta pegawai media pemimpin negeri.
Dato' Dr. Wan Nik menjelaskan, taklimat tersebut turut bertujuan membentuk komuniti komunikasi yang inklusif melalui kerjasama antara agensi, sekali gus memperluas capaian maklumat rasmi kerajaan sehingga ke peringkat akar umbi.
Beliau memaklumkan, jaringan strategik yang tersusun membolehkan maklumat mengenai dasar, program dan inisiatif kerajaan disampaikan secara konsisten kepada pelbagai lapisan masyarakat.
“Matlamat kita adalah untuk melahirkan penggerak komunikasi yang bukan sahaja cekap menyampaikan maklumat, malah memahami tanggungjawab perundangan dan mampu membina jaringan strategik yang berkesan antara kerajaan dengan rakyat,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Bahagian Undang-Undang Negeri Kelantan (BAHUU) Khairiah Mohamad dalam pembentangannya menjelaskan perbezaan asas antara dasar kerajaan dengan undang-undang, khususnya dari segi tujuan, bidang kuasa, bentuk pelaksanaan dan kesan ketidakpatuhan.
Timbalan Pengarah Bahagian Undang-Undang Negeri Kelantan (BAHUU), Khairiah Mohamad
Menurutnya, dasar berfungsi menetapkan hala tuju serta matlamat kerajaan melalui pendekatan strategik dan pentadbiran, manakala undang-undang menetapkan hak, kewajipan, larangan serta kuasa yang mempunyai kesan perundangan.
"Dasar lazimnya dilaksanakan melalui dokumen dasar, pelan tindakan, garis panduan, pekeliling atau keputusan kerajaan, sementara undang-undang diwujudkan melalui instrumen perundangan seperti akta, enakmen, peraturan dan perintah.
"Dari sudut pematuhan, ketidakpatuhan terhadap dasar boleh membawa kepada tindakan pentadbiran, manakala pelanggaran undang-undang boleh mengundang tindakan penguatkuasaan dan hukuman sebagaimana diperuntukkan dalam perundangan berkaitan," jelasnya.
Taklimat itu turut menampilkan Timbalan Rektor Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) Dr. Nurul Akma Mohamed yang membentangkan Dasar-Dasar Sosial Negeri Kelantan.
Sesi terakhir pula dikendalikan oleh peguam, pengamal media dan pengacara Muhammad Adib Mohamed Saat menerusi pembentangan bertajuk Do's & Don'ts Komunikasi Digital Bagi Aktivis Media Sosial.












