Accessibility Tools

Skip to main content

Nasrom FC juara Liga Bola Sepak Jajahan Tumpat 2026

  • 18 October 2026
  • Oleh: Syamimi Manah
  • 36

TUMPAT, 18 Oktober – Nasrom FC muncul juara Liga Bola Sepak Jajahan Tumpat 2026 selepas menewaskan Pasir Pekan FC menerusi penentuan sepakan penalti dengan keputusan 6-4 dalam perlawanan akhir merebut Piala Ahli Dewan Negeri (ADN) Pengkalan Kubor, Jumaat lalu.

Kejayaan itu diraih selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga tamat perlawanan sebelum Nasrom FC mengungguli penentuan sepakan penalti untuk membawa pulang trofi kejuaraan dan wang tunai RM6,000.

Pasir Pekan FC pula menerima wang tunai RM5,000 sebagai naib juara kejohanan berkenaan.

Atas kejayaan berkenaan, ADN Pengkalan Kubor YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat mengucapkan tahniah kepada Nasrom FC dan pasukan yang bertanding. Selain menghargai semangat juang dan persembahan yang ditampilkan Pasir Pekan FC sepanjang perlawanan.

“Setinggi-tinggi tahniah kepada Nasrom FC atas kejayaan merangkul kejuaraan, manakala Pasir Pekan FC turut diberikan penghargaan atas semangat juang dan persembahan yang baik sepanjang perlawanan” katanya di laman rasmi, pada Jumaat.

Menurutnya, kejohanan berkenaan bukan sekadar medan persaingan untuk merebut kejuaraan, malah menjadi wadah mengeratkan ukhuwah, memupuk semangat kesukanan dan mencungkil bakat bola sepak dalam kalangan anak muda di jajahan Tumpat.

“Kejohanan ini bukan sekadar medan mencari juara, bahkan menjadi wadah mengeratkan ukhuwah, memupuk semangat kesukanan dan mencungkil bakat bola sepak dalam kalangan anak muda di jajahan Tumpat,” ujarnya.

Perlawanan akhir tersebut turut dihadiri Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhamad serta ADN Wakaf Bharu YB Mohd Rusli Abdullah.

Dato’ Wan Roslan turut merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur, penaja, pegawai pertandingan, semua pasukan serta penyokong yang memberikan komitmen bagi menjayakan kejohanan itu.

Beliau berharap penganjuran kejohanan seumpama itu dapat diteruskan bagi melahirkan generasi muda yang sihat, berdisiplin dan berakhlak mulia.

“Menang dan kalah adalah adat pertandingan, namun ukhuwah dan semangat kesukanan tetap menjadi keutamaan,” katanya.

Pautan berjaya disalin!