Accessibility Tools

Skip to main content

30 Tahun POPK: Tiga dekad ketabahan dan perjuangan komuniti orang pekak

  • 18 October 2026
  • Oleh: Syamimi Manah
  • 79

KOTA DARULNAIM, 18 Oktober – Perbezaan keupayaan bukan penghalang untuk mencipta kejayaan, sebaliknya setiap individu mempunyai potensi dan keistimewaan tersendiri yang wajar dihargai masyarakat.

Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita YB Dato’ Rohani Ibrahim berkata, masyarakat tidak seharusnya menilai seseorang berdasarkan kekurangan yang terlihat, sebaliknya perlu mengiktiraf kelebihan, kemampuan dan sumbangan setiap individu.

Beliau menegaskan, perkara itu selaras dengan semangat perjuangan Persatuan Orang Pekak Kelantan (POPK) yang telah melalui tiga dekad usaha memperjuangkan hak, kebajikan dan kesejahteraan komuniti orang pekak.

“Berbeza keupayaan bukan penghalang untuk mencipta kejayaan, dan keterbatasan bukan alasan untuk menafikan kemuliaan seseorang insan,” katanya di laman rasmi, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Makan Malam Amal sempena Ulang Tahun POPK ke-30 yang menghimpunkan komuniti orang pekak serta penggerak persatuan dari seluruh Malaysia di sebuah hotel di Kota Bharu, semalam.

Menurutnya, tempoh 30 tahun itu melambangkan kematangan, ketabahan dan semangat perjuangan yang berterusan dalam memastikan hak serta kebajikan komuniti orang pekak mendapat perhatian sewajarnya.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua penggerak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) orang kurang upaya (OKU), khususnya di Kelantan dan seluruh negara, atas komitmen serta kesungguhan memberikan khidmat kepada golongan yang memerlukan.

“Marilah kita bersama-sama memberikan khidmat terbaik mengikut kemampuan dan tanggungjawab masing-masing, agar tiada insan yang terpinggir daripada menikmati kehidupan yang lebih baik,” ujarnya.

Beliau berharap POPK terus maju dan istiqamah dalam perjuangannya serta kekal menjadi wadah kebajikan yang membawa manfaat kepada komuniti orang pekak.

Tambahnya, usaha berterusan semua pihak penting bagi memastikan golongan OKU mendapat ruang, sokongan dan peluang untuk menjalani kehidupan yang lebih baik serta menyumbang kepada masyarakat.

Pautan berjaya disalin!