Pantai Timur, Borneo perlu diangkat sebagai wajah Malaysia – Dato' Mumtaz
-
18 October 2026
-
Oleh: Asri Hamat
-
56
KUALA LUMPUR, 18 Oktober - Naratif sejarah negara perlu diperluas dengan memberi ruang lebih besar kepada Pantai Timur dan wilayah Borneo bagi memastikan identiti Malaysia digambarkan secara seimbang, kata Ahli Parlimen Tumpat YB Dato' Mumtaz Md Nawi.
Katanya, sebagai sebuah negara berdaulat, aspek jati diri yang berakar dalam hati rakyat perlu diberikan tempat sewajarnya, termasuk dengan mengiktiraf warisan sejarah di pelbagai wilayah negara.
Menurutnya, gambaran sejarah Malaysia tidak seharusnya tertumpu kepada tinggalan seperti Kota A Famosa di Melaka dan George Town di Pulau Pinang semata-mata, sebaliknya turut merangkumi warisan sejarah di Pantai Timur dan Borneo.
“Kita menghargai Kota A Famosa dan George Town sebagai warisan tetapi ia bukan seluruh cerita dan gambaran naratif sebenar Malaysia,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat pada Khamis.
Katanya, Masjid Kampung Laut di Tumpat, Kelantan, antara warisan penting yang perlu diberikan perhatian, khususnya dari segi kajian dan pemuliharaan, selain berpotensi diketengahkan sebagai tapak warisan UNESCO.
Katanya, usaha berkenaan perlu dilaksanakan sebagaimana perhatian yang diberikan kepada warisan di Pulau Pinang dan Melaka.
Ujarnya, kerajaan perlu memberikan ruang lebih besar kepada warisan Pantai Timur dan wilayah Borneo dalam pembangunan naratif negara supaya sejarah Malaysia dapat diketengahkan secara lebih menyeluruh.
“Sekarang tiba masanya giliran Pantai Timur dan Wilayah Borneo untuk diangkat sebagai sebahagian daripada wajah Malaysia,” katanya.
Selain itu, beliau turut mencadangkan agar promosi negeri-negeri Pantai Timur dipergiatkan dengan mengetengahkan keunikan budaya dan makanan tradisional, termasuk nasi kerabu dan ayam percik, kepada masyarakat antarabangsa.
Tambahnya, undang-undang negeri, institusi kesultanan dan warisan seni bina turut mencerminkan perkembangan sejarah masyarakat di rantau ini dan perlu diberikan perhatian sewajarnya.
Sehubungan itu, beliau berpandangan kerajaan perlu mengubah dasar dan pendekatan berkaitan sejarah negara dengan mempergiat usaha penyelidikan, pemuliharaan monumen dan tapak warisan serta memperkukuh pendidikan sejarah bagi meningkatkan kefahaman rakyat terhadap asal usul pembentukan dan kedaulatan negara.
Dato' Mumtaz turut mencadangkan supaya satu dasar baharu berkaitan identiti negara diwujudkan, dengan penyelidikan sejarah dilaksanakan secara saintifik oleh universiti serta disokong bukti arkeologi dan antropologi.
Katanya, peruntukan khusus bagi kajian dan pemuliharaan, selain perancangan serta kepakaran berkaitan, diperlukan untuk membina kerangka identiti negara bangsa yang bermaruah.
Beliau menegaskan setiap naratif sejarah perlu berasaskan sumber yang boleh disemak secara terbuka, di samping mengiktiraf sumbangan pelbagai komuniti dalam pembentukan negara.






