Accessibility Tools

Skip to main content

Rakyat Kelantan diseru amalkan konsep 3R jaga kebersihan

  • 18 October 2026
  • Oleh: Asri Hamat
  • 43

KOTA DARULNAIM, 18 Oktober - Rakyat Kelantan diseru mengamalkan konsep 3R iaitu Reduce (Kurangkan), Reuse (Guna Semula) dan Recycle (Kitar Semula) bagi memastikan kebersihan persekitaran sentiasa terpelihara.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah berkata, amalan Reduce merujuk kepada usaha mengurangkan penggunaan barangan yang boleh menghasilkan sampah.

Katanya, Reuse pula bermaksud menggunakan semula barangan yang masih boleh digunakan, termasuk botol air, beg kain dan bekas makanan. Manakala Recycle ialah proses mengitar semula barangan terpakai menjadi bahan atau produk baharu, antaranya kertas, tin aluminium dan botol.

"Asingkan sisa makanan daripada bahan kitar semula seperti plastik, kertas, kaca dan logam. Elakkan pembuangan sampah merata-rata, khususnya ke dalam longkang, sungai dan kawasan lapang," katanya di media sosial, pada Khamis lepas.

Menurutnya, kebersihan bukan sahaja mencerminkan imej sesebuah bandar, malah menjadi ukuran disiplin, akhlak dan keprihatinan masyarakat terhadap alam sekitar.

Jelasnya, dalam kerangka Dasar Membangun Bersama Islam, usaha menjaga kebersihan merupakan sebahagian daripada tuntutan agama serta tanggungjawab manusia sebagai khalifah dalam memelihara alam ciptaan Allah SWT.

"Kebersihan adalah sebahagian daripada iman. Menjaga alam sekitar pula merupakan amanah yang akan dipersoalkan," katanya.

Mengulas mengenai agenda KelantanKu Bersih, YB Hilmi berkata, usaha berkenaan perlu bermula dalam diri setiap individu.

Katanya, secanggih mana sekalipun jentera yang dibekalkan dan sebaik mana sistem pengurusan yang diwujudkan, usaha menjaga kebersihan tidak akan berjaya tanpa perubahan sikap individu dalam masyarakat.

"Kita tidak boleh hanya bergantung kepada lori sampah dan pekerja pembersihan untuk memastikan Kelantan sentiasa bersih tanpa kerjasama dan sokongan daripada masyarakat," jelasnya.

Pautan berjaya disalin!