Projek ekologi bukan sekadar landskap, penduduk setempat perlu turut menikmati manfaat – Pegawai Kewangan Negeri
-
18 October 2026
-
Oleh: Syamimi Manah
-
48
KOTA DARULNAIM, 18 Oktober – Pelaksanaan projek berasaskan ekologi oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu memberi manfaat kepada penduduk setempat, bukan sekadar tertumpu kepada pembangunan landskap dan keindahan kawasan.
Pegawai Kewangan Negeri Kelantan YB Dato' Rosnazli Amin berkata, projek ekologi yang dilaksanakan kerajaan negeri perlu mempunyai kesan limpahan ekonomi (trickle-down effect) supaya masyarakat setempat turut memperoleh peluang daripada pembangunan kawasan masing-masing.
Menurutnya, pendekatan itu antara perkara yang diberi perhatian dalam pelaksanaan projek Ekonomi dan Kelestarian Alam Sekitar termasuk di kawasan Majlis Daerah Dabong yang menerima peruntukan hampir RM6 juta.
“Untuk makluman bersama, projek ini telah disalurkan melalui Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam dan kita buat projek. Contohnya, macam di Majlis Daerah Dabong, telah banyak yang disalurkan peruntukan, hampir dekat enam juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Kelantan Eco Life 2026 di Kompleks Kota Darulnaim, semalam.
Beliau juga menjelaskan, pembangunan di Dabong menunjukkan bagaimana projek berasaskan potensi kawasan boleh membuka ruang ekonomi kepada penduduk, khususnya melalui aktiviti pelancongan dan penyediaan penginapan kepada pengunjung.
Katanya lagi, perubahan itu dapat dilihat apabila penduduk setempat kini turut mengusahakan rumah inap desa berbanding sebelum ini apabila pilihan penginapan lebih terhad.
“Sekarang telah banyak rumah-rumah homestay yang dikendalikan oleh orang kampung,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau cadangan projek yang dikemukakan PBT dan jabatan mengambil kira manfaat kepada masyarakat, di samping memastikan aspek ekologi menjadi sebahagian daripada perancangan pembangunan.
Menurutnya, kawasan yang mempunyai potensi alam semula jadi boleh diteroka secara terancang bagi mewujudkan tarikan ekopelancongan baharu serta memberi peluang kepada penduduk untuk terlibat dalam aktiviti ekonomi berkaitan.
Beliau turut berkongsi pengalaman membawa satu pasukan melawat Kampung Agong di Pulau Pinang bagi melihat bagaimana kawasan berasaskan tarikan desa dan pertanian dapat dibangunkan sebagai produk pelancongan yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
“Kalau kita tengok, kita bawa satu pasukan daripada satu kawasan untuk kita tengok di Kampung Agong di Pulau Pinang, mana kawasan-kawasan terpilih. Ada kawasan sawah padi, ada homestay dan penduduk kampung dapat manfaat dalam projek yang telah dilaksanakan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan penjagaan alam sekitar perlu menjadi tanggungjawab bersama, termasuk dalam memastikan kawasan hijau dan pokok di Kompleks Kota Darulnaim terus dipelihara.
Tambahnya, kompleks berkenaan yang hampir berusia empat dekad memerlukan perhatian dari segi penyelenggaraan pokok, termasuk pemeriksaan oleh pakar bagi mengenal pasti pokok yang perlu diganti atau dipangkas demi keselamatan penjawat awam dan pengunjung.












