Accessibility Tools

Skip to main content

Celik undang-undang benteng kezaliman, masyarakat bijak pertahan hak

  • 18 October 2026
  • Oleh: Irham Hilmi Hashim
  • 36

KOTA DARULNAIM, 18 Oktober – Celik undang-undang menjadi benteng penting dalam mencegah kezaliman dan penindasan selain membolehkan masyarakat membuat keputusan secara bijaksana berlandaskan prinsip keadilan serta mempertahankan hak melalui saluran yang sah.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata, kesedaran undang-undang perlu dipupuk dalam kalangan masyarakat bagi memastikan setiap individu memahami hak dan tanggungjawab masing-masing.

Menurutnya, pengetahuan perundangan mampu membantu masyarakat mendapatkan pembelaan apabila berdepan pertikaian dan menjadi asas penting dalam membentuk kehidupan yang harmoni dan berteraskan keadilan.

“Islam sendiri meletakkan keadilan sebagai asas penting dalam kehidupan. Setiap individu mempunyai hak yang perlu dipelihara dan tanggungjawab yang mesti ditunaikan,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi kenyataan di media sosial selepas merasmikan Seminar Kesedaran Undang-Undang sempena MUSLET Outreach@Tumpat di Dewan Bunga Raya, Pantai Sri Tujoh, Tumpat, semalam.

Seminar anjuran Pertubuhan Lepasan Undang-Undang Muslimat Kelantan (MUSLET) dengan kerjasama Majlis Perundingan Wanita Parlimen Tumpat itu menjadi platform meningkatkan literasi perundangan masyarakat, khususnya berkaitan hak individu dan akses kepada khidmat guaman.

Program berkenaan turut menyediakan khidmat nasihat guaman percuma, pemeriksaan kesihatan serta penglibatan beberapa agensi berkaitan bagi memudahkan masyarakat mendapatkan maklumat dan perkhidmatan secara langsung.

Dalam pada itu, Dato' Wan Roslan merakamkan penghargaan kepada MUSLET, Majlis Perundingan Wanita Parlimen Tumpat serta semua pihak yang menjayakan program berkenaan atas komitmen memperluas akses masyarakat kepada pengetahuan dan khidmat perundangan.

Beliau berharap inisiatif seumpama itu dapat diteruskan bagi melahirkan masyarakat yang celik undang-undang, berupaya mempertahankan hak melalui saluran yang betul serta memahami tanggungjawab terhadap orang lain.

Pautan berjaya disalin!