Accessibility Tools

Skip to main content

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, YB Hilmi Abdullah


Kelantan ke arah pelaksanaan Akta 672, penyelarasan dengan Kerajaan Persekutuan perlu diperhalusi - YB Hilmi

  • 17 October 2026
  • Oleh: Asri Hamat
  • 33

KOTA DARULNAIM, 17 Oktober – Kerajaan Negeri Kelantan mengambil keputusan dasar untuk menerima pakai Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672), namun mekanisme pelaksanaan serta penyelarasan dengan Kerajaan Persekutuan perlu diperhalusi bagi memastikan kepentingan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan rakyat terus terpelihara.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah berkata, keputusan itu selaras dengan titah Sultan Kelantan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V sempena Sambutan Perayaan Hari Ulang Tahun Keputeraan baginda kali ke-57, baru-baru ini.

Menurut YB Hilmi, penerimaan dasar tersebut merupakan langkah penting ke arah mentransformasikan sistem pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di Kelantan supaya lebih moden, cekap, bersepadu serta mampan.

Katanya, pelaksanaan penuh Akta 672 kelak dijangka membolehkan operasi pengurusan sisa pepejal diselaraskan dengan lebih sistematik, termasuk penetapan standard perkhidmatan dan mekanisme pemantauan yang lebih berkesan.

“Antara manfaat yang diharapkan ialah peningkatan kualiti perkhidmatan kutipan sampah melalui perancangan jadual, penggunaan jentera dan pengurusan kemudahan yang lebih tersusun,” katanya menerusi media sosial, pada Khamis.

Beliau menjelaskan, penyelarasan antara Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan turut melibatkan aspek pengurusan sumber, perkongsian kepakaran dan pembangunan infrastruktur bagi memastikan pelaksanaan akta berkenaan memenuhi keperluan negeri.

Selain meningkatkan kecekapan kutipan sampah, pelaksanaan Akta 672 juga dijangka memperluas amalan kitar semula dan pengasingan sisa di punca bagi mengurangkan jumlah sisa pepejal yang dihantar ke tapak pelupusan.

Menurutnya, penguatkuasaan undang-undang yang lebih berkesan turut membolehkan tindakan diambil terhadap pihak yang membuang sampah secara tidak bertanggungjawab, sekali gus meningkatkan tahap kebersihan kawasan awam.

Dalam masa sama, penggunaan teknologi pengurusan sisa yang lebih moden dan mesra alam dapat diteroka bagi menyokong aspirasi pembangunan Kelantan yang lestari.

“Saya percaya transformasi ini mampu membantu PBT di seluruh Kelantan meningkatkan mutu perkhidmatan kebersihan awam, di samping mengurangkan tekanan kos pengurusan sisa pepejal yang semakin meningkat,” katanya.

Akta 672 merupakan undang-undang Persekutuan yang bertujuan menyeragamkan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam melalui sistem kawal selia, pelesenan serta penguatkuasaan yang lebih bersepadu.

Akta berkenaan mendapat perkenan diraja pada 29 Ogos 2007 dan diwartakan pada 30 Ogos tahun sama, dengan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) memainkan peranan utama dalam pelaksanaannya.

Sehubungan itu, penelitian terhadap mekanisme penyelarasan, pembahagian tanggungjawab dan keperluan pelaksanaan antara kedua-dua peringkat kerajaan menjadi langkah penting sebelum Akta 672 dilaksanakan sepenuhnya di Kelantan.

YB Hilmi optimis langkah tersebut dijangka membuka ruang kepada pembaharuan sistem pengurusan sisa pepejal negeri secara lebih menyeluruh tanpa mengabaikan kepentingan PBT serta keperluan perkhidmatan kebersihan awam yang berkualiti kepada rakyat.

Pautan berjaya disalin!