PBT perlu proaktif tangani isu kebersihan, elakkan longkang tersumbat – MB Kelantan
-
17 October 2026
-
Oleh: Asri Hamat
-
28
KOTA DARULNAIM, 17 Oktober – Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Kelantan perlu mengambil pendekatan lebih proaktif dalam menangani isu kebersihan dan keindahan persekitaran, khususnya bagi memastikan sistem saliran berada dalam keadaan baik menjelang musim tengkujuh.
Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud berkata, PBT merupakan antara institusi kerajaan yang paling hampir dengan kehidupan harian rakyat menerusi penyediaan perkhidmatan seperti pengurusan sampah, kebersihan jalan, penyelenggaraan longkang, pemotongan rumput dan penjagaan kawasan awam.
Menurutnya, usaha pembersihan perlu diberikan perhatian bagi mengelakkan masalah air bertakung dan banjir genang yang boleh dikaitkan dengan longkang tersumbat.
“Lebih-lebih lagi kita sekarang ini sudah hampir dengan musim tengkujuh. Jadi, kita tengoklah longkang-longkang. Kita tak mahu dengar rungutan orang yang mengatakan air bertakung atau banjir termenung, antara puncanya longkang tersumbat.
“Jadi, kita minta buat usaha pembersihan."
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program Kelantan Eco Life 2026 di Dewan Teratai, Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) turut melaksanakan kerja-kerja pembersihan sungai, termasuk usaha pembersihan dan peluasan sungai seperti Sungai Meranti serta sungai-sungai lain.
Menurutnya lagi, usaha berkenaan diharap dapat melancarkan aliran air sekali gus mengurangkan risiko banjir besar.
“Kita doakan tidak berlaku banjir tahun ini. Kalau berlaku juga, kita doa supaya tidak besarlah. Harapnya begitu,” katanya.
Tambahnya, dalam usaha menjaga kebersihan memerlukan dua perkara yang bergerak seiring, iaitu sistem yang baik dan sikap yang betul dalam kalangan masyarakat.
Beliau turut menekankan kepentingan pendidikan awam bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kesan tindakan mereka terhadap alam sekitar.
“Sampah yang dibuang ke dalam longkang boleh menyebabkan saliran tersumbat. Orang kita buang sampah dalam longkang, lebih teruk lagi dalam sungai, menyebabkan sungai jadi tidak bersih.
“Bagi mengatasi masalah Ini mungkin memerlukan kepada pendidikan awal di sekolah rendah lagi,” katanya.
Mengulas tentang program Kelantan Eco Life 2026 ini, beliau berkata program ini memperlihatkan usaha pemuliharaan alam sekitar melalui aktiviti yang dekat dengan masyarakat seperti gotong-royong, penanaman pokok dan penghijauan kawasan.
Usaha seumpama itu, katanya, perlu diteruskan dan diperkasakan mengikut kesesuaian kawasan serta keperluan setempat bagi memastikan persekitaran yang bersih dan terpelihara dapat dinikmati masyarakat.










