Pendekatan Green, Clean dan Sustainable jadi teras Kelantan Eco Life – Dato’ SUK Kelantan
-
17 October 2026
-
Oleh: Syamimi Manah
-
44
KOTA DARULNAIM, 17 Oktober 2026 – Pendekatan Green, Clean dan Sustainable menjadi teras Program Kelantan Eco Life 2026 bagi membudayakan amalan kebersihan, memperluas penghijauan serta meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan kelestarian alam sekitar.
Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan YBM Tengku Kaya Perkasa Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan Dato’ Dr Tengku Mohamed Faziharudean Al-Hajj Tengku Feissal berkata, program berkenaan memberi penekanan kepada tiga komponen utama yang saling melengkapi dalam usaha memelihara alam sekitar.
“Program Kelantan Eco Life 2026 memberi penekanan pada tiga komponen utama, iaitu Green, Clean and Sustainable. Komponen Green memberi tumpuan pada penanaman pokok dan penghijauan, Clean pada gotong-royong dan kebersihan persekitaran, manakala Sustainable memberi penekanan pada kesedaran dan amalan kelestarian,” katanya.
Menurutnya, pendekatan tersebut bukan sekadar bertujuan menceriakan persekitaran melalui aktiviti penanaman pokok dan gotong-royong, malah mahu membentuk kesedaran supaya amalan menjaga kebersihan menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat.
“Melalui program ini, kita ingin membudayakan amalan menjaga kebersihan sebagai sebahagian daripada kehidupan seharian. Janganlah kita hanya menjaga kebersihan apabila ada program, tetapi biarlah ia juga menjadi satu amalan dan tanggungjawab kita pada setiap masa,” ujarnya.
Beliau berkata demikian sempena Program Kelantan Eco Life 2026 yang berlangsung di Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.
Beliau juga memaklumkan, peruntukan Pembiayaan Fiskal Ekologi (EFT) memberi ruang kepada kerajaan negeri untuk melaksanakan aktiviti yang menyokong usaha perlindungan dan pemuliharaan biodiversiti serta alam sekitar.
Sehubungan itu, usaha penanaman pokok dan penghijauan perlu diperluas ke seluruh jajahan dengan penglibatan jabatan kerajaan serta pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati masyarakat.
Tambahnya, pelaksanaan program berkenaan turut memberi perhatian kepada aktiviti gotong-royong dan penjagaan kebersihan persekitaran sebagai usaha menerapkan tanggungjawab bersama dalam memelihara alam sekitar.














