Kebersihan alam sekitar perlu bermula di Kota Darulnaim – MB Kelantan
-
17 October 2026
-
Oleh: Syamimi Manah
-
38
KOTA DARULNAIM, 17 Oktober – Usaha menjaga kebersihan dan kelestarian alam sekitar perlu bermula di Kompleks Kota Darulnaim sebelum diperluas ke seluruh daerah bagi memastikan persekitaran yang bersih, teratur dan selamat untuk masyarakat.
Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata, Kota Darulnaim sebagai pusat pentadbiran negeri perlu mencerminkan imej Kelantan sekali gus menjadi tanggungjawab bersama semua pihak untuk memastikan kebersihan dan keindahannya sentiasa terpelihara.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Kelantan Eco Life 2026 bertemakan Kecaknaan Kebersihan Tanggungjawab Bersama anjuran Pejabat Perbendaharaan Negeri Kelantan, di sini, hari ini.
Menurutnya, kejayaan usaha menjaga alam sekitar bukan sekadar diukur melalui aktiviti gotong-royong atau jumlah pokok yang ditanam, sebaliknya bergantung pada perubahan sikap masyarakat untuk mengekalkan kebersihan secara berterusan.
“Kita boleh membersihkan sesuatu kawasan dalam tempoh beberapa jam atau menanam 100 batang pokok, tetapi kejayaan sebenar ialah apabila kawasan itu terus bersih selepas program berakhir dan pokok yang ditanam terus hidup,” katanya.
Beliau berkata, sebagai sebuah negeri yang berteraskan Islam, penjagaan kebersihan dan alam sekitar perlu difahami sebagai amanah daripada Allah SWT yang menuntut tanggungjawab manusia untuk memeliharanya daripada kerosakan.
Katanya, tuntutan menjaga kebersihan tidak seharusnya terhad kepada diri sendiri dan tempat ibadah, tetapi perlu diterapkan dalam kehidupan seharian, termasuk di pejabat, jalan raya serta kawasan awam.
“Saya mahu setiap jabatan dan agensi yang terlibat memberikan perhatian khusus terhadap keberkesanan pelaksanaan, kaedah pemantauan dan hasil yang dicapai. Insya-Allah, kejayaannya akan dinikmati secara bersama,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan peruntukan Pembiayaan Fiskal Ekologi (EFT) yang dirangka di bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam sebagai inisiatif baik untuk menyokong usaha pemuliharaan alam sekitar dan biodiversiti.
Beliau merakamkan penghargaan atas peruntukan berkenaan yang menyediakan ruang dan peluang kepada kerajaan negeri, jabatan serta agensi berkaitan untuk melaksanakan usaha pemuliharaan dengan sebaik-baiknya.
Mengulas peranan pihak berkuasa tempatan (PBT), beliau berkata institusi itu merupakan antara agensi kerajaan yang paling hampir dengan kehidupan harian rakyat melalui perkhidmatan kebersihan jalan, pengurusan sampah, penyelenggaraan longkang, pemotongan rumput dan penjagaan taman awam.
Menurutnya, aspek kebersihan perlu diberikan perhatian menjelang musim tengkujuh bagi menangani masalah yang boleh berlaku akibat persekitaran tidak terurus, termasuk longkang yang tidak diselenggara dengan baik.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan perbuatan yang boleh memudaratkan pengguna jalan raya lain, termasuk membiarkan sampah terjatuh dari kenderaan.
Katanya, prinsip Islam menegah perbuatan yang membawa kemudaratan kepada orang lain, walaupun perkara itu berlaku tanpa niat untuk menyakiti atau membahayakan mereka.
Program berkenaan turut menyaksikan gimik perasmian serta penyerahan pokok rasmi jajahan oleh Menteri Besar Kelantan kepada semua Yang Dipertua PBT.
Turut diadakan, aktiviti simbolik penanaman pokok dan gotong-royong oleh kakitangan bagi menjaga kebersihan serta kelestarian persekitaran Kompleks Kota Darulnaim.
















