MDPP terima lori Ro-Ro tingkat keupayaan kutipan sisa pepejal
-
16 October 2026
-
Oleh: Asri Hamat | Kredit foto: Media Exco
-
36
KOTA DARULNAIM, 16 Oktober - Penyerahan kunci lori jenis Roll-On Roll-Off (Ro-Ro) kepada Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) mampu meningkatkan keupayaan operasi kutipan dan pengurusan sisa pepejal di kawasan pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah berkata, penambahan aset berkenaan adalah sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan Negeri Kelantan untuk meningkatkan kecekapan perkhidmatan PBT.
Katanya, usaha itu khususnya bagi memastikan kawasan perbandaran, pusat perniagaan, pasar, kawasan perumahan dan tempat awam sentiasa bersih, indah serta selesa.
"Lori Ro-Ro ini akan membantu MDPP mengendalikan kutipan serta pengangkutan sisa pepejal dalam kuantiti yang besar khususnya sisa pukal dengan lebih cekap dan sistematik," katanya di media sosial, pada Khamis.
Beliau turut berharap aset baharu itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya bagi meningkatkan produktiviti operasi, mempercepat urusan kutipan serta mengurangkan masalah longgokan sampah yang boleh menjejaskan keselesaan dan kesihatan masyarakat.
Terdahulu, beliau turut sama menunaikan solat hajat dan menyerahkan kunci sebuah lori Ro-Ro kepada Yang Dipertua MDPP, Kamarulzaman Abdul Wahab, bagi memperkukuh keupayaan operasi kutipan dan pengurusan sisa pepejal di kawasan pentadbiran MDPP.














