Accessibility Tools

Skip to main content

MDPP lupuskan 4,054 rokok elektronik

  • 16 October 2026
  • Oleh: Asri Hamat | Kredit foto: Media Exco
  • 33

KOTA DARULNAIM, 16 Oktober - Sebanyak 4,054 unit rokok elektronik atau vape antara 4,518 unit barang rampasan dilupuskan dan dimusnahkan oleh Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) semalam.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah berkata, selain vape, barangan lain yang turut dimusnahkan ialah 90 peralatan dan aksesori shisha, 256 unit mercun dan bunga api.

Menurutnya, majlis pemusnahan dan pelupusan itu merupakan mesej jelas mengenai keseriusan pihak MDPP dalam melaksanakan penguatkuasaan.

“Kesemua hasil rampasan ini dibuat melalui 12 kali operasi bersepadu bersama agensi-agensi kerajaan negeri dan Persekutuan,” katanya dalam satu hantaran di media sosial, pada Khamis.

Katanya lagi, sejak 2013, pihak berkuasa tempatan (PBT) di Kelantan tidak mengeluarkan lesen khusus bagi perniagaan penjualan vape.

Jelasnya, pada 16 Disember 2015 Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan (MMK) turut memuktamad dan melaksanakan keputusan melarang sebarang penjualan vape melalui kawalan pelesenan oleh PBT.

“Larangan penjualan vape ini adalah selari dengan falsafah Dasar Membangun Bersama Islam (MBI) yang menjadi asas kepada pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan sejak tahun 1990.

“Menurut Islam, pembangunan bukan sekadar secara fizikal, ekonomi dan infrastruktur, malah perlu melibatkan pembinaan masyarakat yang sihat dari segi jasmani, rohani, akhlak dan pemikiran,” katanya.

Terdahulu, YB Hilmi yang turut menyertai majlis pelupusan berkenaan menegaskan, majlis itu turut membawa mesej bahawa Kerajaan Negeri Kelantan serius dalam usaha melindungi kesihatan rakyat, khususnya generasi muda, daripada ancaman ketagihan nikotin.

“Janganlah kerana keuntungan perniagaan hari ini, kita menggadaikan kesihatan generasi masa hadapan.

“Kita mahu melihat anak-anak Kelantan membesar dengan tubuh yang sihat, akal yang cerdas, akhlak yang terpelihara dan masa depan yang sejahtera. Inilah tuntutan pembangunan yang kita perjuangkan melalui Dasar Membangun Bersama Islam,” ujarnya.

Pautan berjaya disalin!