Accessibility Tools

Skip to main content

Baharuddin Safii, 59


Terima kasih Kerajaan Kelantan: Bayar balik pinjaman murah, tidak bebankan usahawan IKS - Baharudin Safii

  • 15 October 2026
  • Oleh: Syamimi Manah
  • 56

KOTA BHARU, 15 Oktober — Kemudahan Skim Kredit Mikro Negeri Kelantan yang menawarkan pinjaman tanpa faedah dengan bayaran balik pada kadar rendah membantu meringankan beban kewangan usahawan industri kecil dan sederhana (IKS), sekali gus memberi ruang kepada mereka mendapatkan modal untuk mengembangkan perniagaan.

Penerima skim Baharuddin Safii, 59, dari Pasir Puteh berkata, pembiayaan itu akan digunakan untuk menambah produk baharu bagi mengembangkan perniagaan yang diusahakannya sejak hampir lima tahun lalu.

Beliau yang menjalankan perniagaan produk kopi kunyit hitam dan ekstrak kurma mempunyai kedai di Plaza MARA Pasir Puteh untuk mempamerkan dan memasarkan produk berkenaan.

Menurutnya, antara perancangan menggunakan pembiayaan itu adalah menghasilkan produk baharu iaitu coklat kurma yang masih belum dilancarkan.

Baharuddin berkata, skim berkenaan merupakan pinjaman pertama yang dibuatnya selepas menggunakan modal sendiri untuk memulakan dan mengusahakan perniagaan sebelum ini.

“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri Kelantan kerana sudi memberi pinjaman kepada kami, pengusaha-pengusaha IKS, untuk mengembangkan lagi perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Pinjaman Skim Kredit Mikro Usahawan Negeri Kelantan Tahun 2026 di sebuah hotel, di sini, semalam. 

Beliau berkata, kemudahan bayaran balik yang tidak terlalu membebankan memberi ruang kepada pengusaha kecil seperti dirinya untuk mendapatkan modal tambahan bagi mengembangkan perniagaan.

Baharuddin turut berharap pembiayaan itu dapat membantu memperluas pilihan produk dan memajukan perniagaannya pada masa hadapan.

Sementara itu, penerima skim Rubiha Syazwina Zulkifli, 34, berkata pembiayaan RM10,000 yang diterimanya membantu menambah modal untuk mengembangkan perniagaan makanan yang diusahakan sejak 12 tahun lalu.

Rubiha Syazwina Zulkifli, 34

Beliau berkata, perniagaannya memasarkan produk seperti kuih ros, kuih baulu dan benderam panas dengan pasaran meliputi Kelantan dan Perak.

Menurutnya, perniagaan benderam panas itu kini mempunyai lima cawangan di Bandar Machang, Pulau Condong, Tanah Merah, Kuala Krai dan Pasir Tumbuh.

“Terima kasih kepada pihak negeri Kelantan kerana percaya pada bisnes saya dan memberi bantuan pinjaman sebanyak RM10,000 kepada saya untuk memulakan modal, membesarkan lagi dan melebarkan sayap syarikat kami,” katanya.

Rubiha berkata, beliau mengetahui mengenai skim berkenaan melalui pejabat jajahan daerah dan menyifatkan proses permohonan sebagai mudah berdasarkan pengalamannya mendapatkan pembiayaan sebelum ini.

Beliau berharap kemudahan pembiayaan seumpama itu dapat diteruskan bagi memberi peluang kepada lebih ramai usahawan tempatan mendapatkan modal untuk memajukan perniagaan masing-masing.

Pautan berjaya disalin!