MAIK salur lebih 1.5 juta bantu institusi pendidikan islam, pelajar pondok dan tahfiz
-
15 October 2026
-
Oleh: Syamimi Manah | Kredit foto: Media YB Ustaz Asri Daud
-
37
KOTA BHARU, 15 Oktober – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menyalurkan bantuan berjumlah RM1,517,630 kepada institusi pendidikan Islam berdaftar serta pelajar pondok dan maahad tahfiz di negeri ini bagi membantu menyediakan kemudahan pembelajaran yang lebih selesa.
Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri YB Mohd Asri Mat Daud berkata, bantuan itu diharap dapat membantu pihak pengurusan institusi pendidikan Islam meningkatkan kecekapan pengurusan.
“Dengan bantuan ini, insya-Allah ia dapat membantu pihak pengurusan institusi pendidikan Islam MAIK daripada sudut meningkatkan kecekapan pengurusan, menyediakan keperluan yang sesuai dan memberikan keselesaan pembelajaran buat para pelajar secukupnya,” katanya di laman rasmi, semalam.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Seminar Pemantapan Ilmu Tasawuf Kepada Pemegang Tauliah Mengajar Agama MAIK Tahun 2026 di sebuah hotel, di sini, semalam.
Seminar berkenaan dirasmikan oleh Yang Dipertua MAIK Yang Berhormat Mulia Tengku Tan Sri Dato’ Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz.
Sementara itu, menurut MAIK pula daripada jumlah keseluruhan bantuan berkenaan, sebanyak RM756,630 disalurkan kepada 127 institusi pendidikan Islam yang berdaftar penuh dengan MAIK sebagai bantuan per kapita pelajar.
Manakala RM761,000 lagi diperuntukkan kepada pelajar pondok dan maahad tahfiz yang layak melalui institusi pengajian masing-masing bagi meringankan beban perbelanjaan ibu bapa serta membantu memastikan anak-anak mereka dapat meneruskan pengajian.
MAIK dalam kenyataannya memaklumkan, pihaknya sentiasa cakna dan peka terhadap kebajikan institusi pendidikan Islam di Kelantan, khususnya institusi yang berdaftar di bawah majlis berkenaan.
“Usaha memartabatkan institusi pendidikan Islam ini diharapkan membantu meningkatkan kualiti institusi pendidikan Islam setanding dengan institusi-institusi pendidikan Islam arus perdana yang lain,” katanya di laman rasmi, semalam.
Seminar berkenaan dianjurkan oleh MAIK dengan kerjasama Jabatan Mufti Negeri Kelantan bagi memantapkan ilmu tasawuf dalam kalangan pemegang tauliah mengajar agama MAIK.












