Accessibility Tools

Skip to main content

Kerajaan digesa kaji pembinaan pusat penempatan terkawal pelarian Rohingya - YB Ahmad Fadhli

  • 15 October 2026
  • Oleh: Syamimi Manah
  • 44

KUALA LUMPUR, 15 Oktober – Kerajaan digesa mengambil pendekatan lebih tegas termasuk mengkaji cadangan pembinaan pusat penempatan terkawal bagi menangani isu pelarian Rohingya secara lebih sistematik, berikutan kebimbangan masyarakat terhadap keberkesanan pengurusan golongan berkenaan di negara ini.

Ahli Parlimen Pasir Mas YB Ahmad Fadhli Shaari berkata, kerajaan perlu melaksanakan kajian kebolehlaksanaan dengan mengambil kira kemampuan kewangan, kapasiti penempatan serta keperluan kawalan bagi memastikan pengurusan pelarian dapat dilaksanakan secara teratur.

Menurutnya sekiranya kerajaan tidak berkemampuan menyediakan pusat penempatan bagi menampung sehingga 200,000 orang, cadangan pembinaan kemudahan berkapasiti antara 10,000 hingga 20,000 orang wajar dipertimbangkan sebagai langkah permulaan.

“Rakyat sudah tidak mampu untuk menerima kebanjiran pelarian-pelarian ini walaupun kita tahu bahawa pada asasnya ia berada di atas asas kemanusiaan. Tapi hari ini rakyat sudah melihat bagaimana situasi ini menyebabkan kita sesak. Kita rasa cukup terancam dan bagaimana ia telah menyebabkan rakyat sudah tidak mampu untuk melihat perkara ini berlanjutan,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, pada Selasa.

Sehubungan dengan itu, beliau mencadangkan supaya kerajaan meneliti model pusat penempatan pelarian di Pulau Bidong yang pernah digunakan bagi menempatkan pelarian Vietnam sebagai antara rujukan dalam merangka mekanisme pengurusan lebih tersusun.

Katanya, cadangan tersebut perlu disertai langkah kawalan dan pemantauan yang berkesan bagi memastikan aspek keselamatan, kebajikan serta kepentingan masyarakat setempat diberikan perhatian sewajarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, YB Ahmad Fadhli turut menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang terhadap mana-mana individu dalam kalangan pelarian yang didapati melakukan kesalahan.

Beliau turut membangkitkan dakwaan kewujudan sekolah yang dibina oleh pelarian Rohingya di Pasir Mas dan meminta kerajaan menyiasat perkara berkenaan bagi memastikan sebarang aktiviti pendidikan mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Pada masa sama, beliau mengakui usaha diplomasi yang dilaksanakan kerajaan dalam menangani isu pelarian Rohingya, namun berpandangan pendekatan tersebut perlu disusuli tindakan lebih konkrit di peringkat domestik.

“Saya faham bahawa kerajaan telah melakukan usaha diplomasi yang begitu baik,” jelasnya.

Walau bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa usaha diplomasi semata-mata belum memadai sekiranya kebimbangan masyarakat terhadap pengurusan pelarian masih belum ditangani secara menyeluruh.

Justeru, beliau berharap kerajaan dapat mempertimbangkan satu mekanisme pengurusan pelarian yang lebih berkesan dengan mengimbangi tanggungjawab kemanusiaan, pematuhan undang-undang dan keselamatan negara.

Pautan berjaya disalin!