Accessibility Tools

Skip to main content

Biofeed Al Falah salur bantuan makanan ternakan kepada 800 penternak Kelantan bernilai RM200,000

  • 15 October 2026
  • Oleh: Irham Hilmi Hashim
  • 42

MACHANG, 15 Oktober – Sebanyak 800 penternak di Kelantan yang layak  menerima bantuan makanan ternakan ruminan dan rumput silaj menerusi Program Biofeed Al Falah Peringkat Negeri Kelantan Tahun 2026 dengan peruntukan sebanyak RM200,000 bagi membantu meringankan beban kos penternakan.

Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata demikian dalam kenyataan di media sosialnya selepas merasmikan program berkenaan di Labok, Machang, semalam.

“Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan sebanyak RM200,000 bagi tahun ini untuk menyalurkan bantuan makanan ternakan ruminan dan rumput silaj kepada 800 penerima yang layak,” menurutnya.

Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi, YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail

Menurutnya, bantuan tersebut merupakan inisiatif Kerajaan Negeri untuk membantu penternak, khususnya golongan penternak kecil, dalam menghadapi peningkatan kos makanan ternakan yang memberi kesan kepada pengurusan penternakan.

“Berdasarkan data Jabatan Perkhidmatan Veterinar bagi 2024, Kelantan mempunyai 70,210 ekor lembu, 30,411 ekor kambing dan 21,566 ekor bebiri, sekali gus menunjukkan kepentingan sektor ruminan dalam pembangunan agro-makanan negeri serta sumber pendapatan penternak,” ujarnya.

Dalam pada itu, Kerajaan Negeri turut melaksanakan beberapa inisiatif menangani kos makanan ternakan, termasuk pembangunan kilang makanan ternakan bersama Pusat Khidmat DUN terpilih serta penanaman rumput minyak di Jeram Pasu menerusi kerjasama Kelantan Biotech Corporation Sdn Bhd dan East Coast Economic Region Development Council (ECERDC). Persiapan tapak kilang makanan ternakan di Pasir Puteh juga sedang dilakukan melalui kerjasama Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad (KPKB) dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan di bawah Program Pembangunan Agro Makanan (PPAN).

Beliau berharap bantuan tersebut dimanfaatkan sebaik-baiknya bagi memastikan kebajikan ternakan terpelihara, meningkatkan produktiviti penternakan dan memperkukuh pendapatan keluarga penternak.

Turut hadir dalam majlis perasmian tersebut Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah, Ahli Dewan Negeri (ADN) Pulai Chondong YB Azhar Salleh, ADN Gaal YB Mohd Rodzi Ja’afar, ADN Semerak YB Norsham Sulaiman dan ADN Jelawat YB Zameri Mat Nawang.

Pautan berjaya disalin!