Kebajikan petugas kesihatan perlu diberi keutamaan – YB Abdul Latif
-
15 October 2026
-
Oleh: Asri Hamat
-
35
KUALA LUMPUR, 15 Oktober - Kekuatan sistem kesihatan negara bukan sekadar diukur berdasarkan jumlah hospital yang dibina atau peralatan canggih yang dibeli, sebaliknya turut bergantung pada kebajikan, keselamatan dan penghargaan terhadap petugas kesihatan, kata Ahli Parlimen Kuala Krai, YB Abdul Latif Abdul Rahman.
Beliau menegaskan, isu kekurangan doktor masih belum diselesaikan sepenuhnya sehingga menyebabkan petugas kesihatan terus dibebani tugas berat ketika tenaga kerja sedia ada tidak mencukupi.
Turut dibangkitkan adalah persoalan mengenai tempoh yang perlu dilalui doktor untuk terus bekerja dalam tekanan sehingga berisiko menjejaskan kesihatan diri, selain memberi kesan terhadap mutu rawatan kepada pesakit.
Katanya, kebajikan petugas kesihatan perlu diberikan perhatian sewajarnya bagi memastikan pengorbanan mereka dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat tidak dipandang ringan.
Beliau juga menyentuh isu elaun petugas kesihatan jika keluasan yang dari RM 30 kepada RM 100 yang berkhidmat di kawasan berisiko hanya melibatkan kesihatan udara sahaja.
Di samping itu, beliau mempersoalkan nasib petugas yang terpaksa meredah laluan darat berbahaya untuk memasuki kawasan Orang Asli seperti di pedalaman Kelantan, termasuk menyeberangi sungai atau menggunakan pengangkutan air bagi menyelamatkan nyawa rakyat.
“Adakah risiko hanya diiktiraf apabila seseorang menaiki helikopter sedangkan bahaya turut menanti mereka di darat dan di air?”
Beliau berkata demikian ketika mengambil bahagian dalam perbahasan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat semalam.
YB Abdul Latif mencadangkan supaya perlindungan takaful disediakan kepada petugas kesihatan bagi menjaga kebajikan mereka, khususnya yang bertugas di kawasan berisiko.
Menurutnya, doktor, pembantu perubatan (MA), jururawat dan pemandu yang menjalankan tugas di kawasan berkenaan turut mempertaruhkan keselamatan diri ketika memberikan perkhidmatan kepada masyarakat.
Beliau turut mempersoalkan jaminan perlindungan yang disediakan kepada petugas terbabit serta keluarga mereka sekiranya berlaku kemalangan, kecederaan atau kematian ketika menjalankan tugas.
“Janganlah kerajaan menuntut pengorbanan luar biasa daripada petugas kesihatan tetapi membiarkan kebajikan mereka seolah-olah perkara sampingan,” katanya.
Tambah YB Abdul Latif lagi, pihak kerajaan tidak boleh mengeluh jika isu kehilangan doktor berpengalaman sekiranya kebajikan, imbuhan dan laluan kerjaya mereka tidak diberikan perhatian sewajarnya.
Katanya, latihan untuk melahirkan seorang doktor memerlukan masa dan perbelanjaan yang besar, manakala kehilangan tenaga profesional itu akhirnya turut ditanggung oleh rakyat.
Beliau menyarankan, kebajikan petugas kesihatan perlu diberikan perhatian serius agar keselamatan, kesejahteraan dan sumbangan mereka terus dihargai dalam memastikan mutu perkhidmatan kesihatan negara terpelihara.








