106 usahawan terima manfaat Skim Kredit Mikro bernilai RM1 juta
-
14 October 2026
-
Oleh: Syamimi Manah
-
35
KOTA BHARU, 14 Oktober - Sebanyak 106 usahawan di Kelantan menerima manfaat Skim Kredit Mikro Usahawan Negeri Kelantan Tahun 2026 yang melibatkan peruntukan keseluruhan RM1 juta.
Exco Pelaburan, Perindustrian, Sumber Manusia, Perdagangan dan Keusahawanan YB Mejar (B) Dato’ Md Anizam Ab. Rahman berkata, usahawan perlu bijak merancang perniagaan dan memahami strategi pemasaran bagi memastikan produk yang ditawarkan mampu menarik minat pelanggan.
Beliau berkata, strategi pemasaran merangkumi empat elemen utama, iaitu produk, harga, tempat dan promosi atau lebih dikenali sebagai 4P.
Exco Pelaburan, Perindustrian, Sumber Manusia, Perdagangan dan Keusahawanan, YB Mejar (B) Dato’ Md Anizam Ab. Rahman
“Usahawan perlu memahami keperluan pelanggan dan merancang strategi pemasaran yang sesuai supaya produk dapat dipasarkan dengan berkesan,” katanya ketika merasmikan Majlis Penyampaian Pinjaman Skim Kredit Mikro Usahawan Negeri Kelantan Tahun 2026 di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Sementara itu, Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Kelantan Wan Zulfadhli Syahman Wan Yusof memaklumkan, peruntukan RM1 juta bagi skim berkenaan disalurkan menerusi dua fasa, iaitu RM95,000 bagi Fasa 1 melibatkan 10 orang penerima dan RM905,000 melibatkan 96 penerima bagi Fasa 2.
Menurutnya, skim tersebut menyediakan kemudahan modal kerja kepada usahawan mikro tanpa beban faedah bagi membantu mereka mengembangkan perniagaan.
“Penerima perlu menggunakan modal yang diberikan dengan sebaiknya, khususnya bagi keperluan perniagaan, di samping meningkatkan pengurusan kewangan dan pemasaran digital,” jelasnya.
Penerima skim terdiri daripada usahawan dalam pelbagai sektor termasuk perkhidmatan, pembuatan dan peruncitan.
Wan Zulfadhli menjelaskan, kemudahan pembiayaan itu juga bertujuan membantu usahawan memperluas operasi perniagaan dan meningkatkan kualiti produk serta perkhidmatan yang ditawarkan.
Program berkenaan turut memberi ruang kepada peserta menimba pengalaman menerusi sesi perkongsian perniagaan oleh Pengasas Beauty Kaseh, Kilang OEM FR Qaseh dan Roti Tempayan Pasir Pekan Mohd Faizul Rohban Ahmad.














