Accessibility Tools

Skip to main content

Kelantan perkemas kesiapsiagaan banjir, utamakan kebajikan golongan rentan

  • 14 October 2026
  • Oleh: Norzana Razaly
  • 27

KOTA BHARU, 14 Oktober — Kerajaan Negeri Kelantan menekankan keperluan memperkemas penyelarasan antara agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti bagi meminimumkan risiko banjir besar serta memastikan kebajikan mangsa, khususnya golongan rentan, terus terpelihara menjelang Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027.

Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita YB Dato’ Rohani Ibrahim berkata, perhatian khusus perlu diberikan kepada kanak-kanak, warga emas, orang kurang upaya (OKU), ibu mengandung dan individu yang memerlukan bantuan khas supaya keperluan mereka tidak terabai ketika bencana.

Menurutnya, taklimat penyelarasan dan kesiapsiagaan bencana amat penting bagi memastikan setiap agensi memahami peranan, tanggungjawab serta tindakan yang perlu dilaksanakan sekiranya berlaku banjir besar atau kejadian luar jangka.

“Penambahbaikan kena datang dari bawah. Kami di atas pantau tetapi yang betul-betul berada di posisi di sana ialah sahabat-sahabat agensi dan NGO yang turun bersua muka dengan mangsa banjir serta merasai suasana.
“Tolong beri informasi kepada kami mengenai apa yang perlu kami sediakan dalam konteks kebajikan,” katanya ketika merasmikan majlis penutup Taklimat Penyelarasan dan Kesiapsiagaan Kebajikan Menghadapi Monsun Timur Laut 2026/2027 di sebuah hotel di sini, hari ini.

Beliau menegaskan bahawa pengalaman petugas barisan hadapan amat penting dalam mengenal pasti kelemahan pengurusan bantuan, keperluan sebenar mangsa serta penambahbaikan yang perlu dilaksanakan sebelum musim tengkujuh.

Katanya, pengurusan kebajikan mangsa bukan sekadar menyediakan pusat pemindahan sementara (PPS), malah perlu mengambil kira kecukupan bekalan makanan, keperluan bayi dan kanak-kanak, barangan kebersihan serta kemudahan sokongan kepada golongan rentan.

“Aspek kebajikan mangsa bencana tidak boleh dipandang ringan. Keperluan utama seperti di pusat pemindahan, kecukupan makanan, keperluan bayi dan kanak-kanak, barangan kebersihan serta sokongan kepada golongan rentan perlu disediakan dengan teratur dan mencukupi,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua agensi supaya tidak menunggu sehingga bencana berlaku untuk mengambil tindakan, sebaliknya memastikan stok bantuan dikenal pasti lebih awal, keperluan logistik dirancang dan petugas bersedia untuk digerakkan pada bila-bila masa.

Katanya lagi, meskipun kejadian banjir besar tidak dapat dielakkan sepenuhnya, perancangan yang sistematik dan penyelarasan berkesan mampu mengurangkan risiko serta kesan bencana terhadap keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

Beliau juga menegaskan bahawa keberkesanan pengurusan bencana tidak boleh bergantung kepada satu agensi semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama erat agensi penyelamat, pihak berkuasa tempatan, NGO dan masyarakat setempat.

“Kita tidak boleh menunggu sehingga bencana berlaku untuk bertindak. Keutamaan kita adalah bersedia sebelum diperlukan, bertindak dengan pantas ketika diperlukan dan memastikan kebajikan mangsa terus terpelihara,” jelasnya.

Beliau turut berharap segala maklumat, panduan dan hasil perbincangan sepanjang taklimat berkenaan diterjemahkan kepada tindakan praktikal di lapangan, khususnya dalam meningkatkan kecekapan pengurusan bantuan dan penyelarasan antara agensi.

Program tahunan itu melibatkan penyertaan pegawai dan wakil agensi dari seluruh Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kelantan, termasuk pihak yang terlibat secara langsung dalam pengurusan bencana.

Antara agensi yang memberikan taklimat dan perkongsian kepakaran ialah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Meteorologi Malaysia serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Kelantan.

YB Dato’ Rohani turut menekankan kepentingan membina komuniti yang cakna dan berpengetahuan mengenai pengurusan bencana supaya lebih ramai penduduk mampu membantu usaha menyelamat serta menyalurkan bantuan apabila diperlukan.

Tambahnya, kerjasama semua pihak perlu diperkasakan secara berterusan bagi memastikan setiap tindakan kesiapsiagaan dapat mengurangkan risiko bencana dan menjamin bantuan kebajikan sampai kepada golongan yang paling memerlukan dengan lebih cepat, teratur dan berkesan.

Pautan berjaya disalin!